Home Pertahanan dan Keselamatan PLKN 3.0 dilaksana bermula Januari 2025 – Adly Zahari

PLKN 3.0 dilaksana bermula Januari 2025 – Adly Zahari

by Nurulhuda

ALOR GAJAH, 26 Okt – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Januari tahun hadapan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kira-kira 500 peserta terlibat bagi fasa pertama program tersebut di 2 kem tentera, di Kuala Lumpur dan Pahang sebelum diperluaskan ke 13 kem di seluruh negara pada bulan Jun 2026.

“Pada tahun hadapan, kerajaan memperuntukkan RM50 juta untuk memulakan PLKN 3.0. Kalau ikut perancangan awal (bermula) pertengahan 2025 tetapi terdapat keperluan untuk dilaksanakan lebih awal,

“Kita tumpukan di dua kem untuk dijadikan projek perintis PLKN 3.0 sebelum dilaksanakan secara lebih besar pada Jun tahun hadapan,” katanya seperti dilapor Bernama.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Projek Jiwa Murni (PJM) peringkat negeri di Hutan Percha, hari ini.

Turut hadir, Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin.

Mengulas lanjut, Adly berkata, jumlah peserta PLKN 3.0 akan ditambah pada pengambilan Jun dengan menyasarkan peserta berusia 16 hingga 35 tahun dalam kalangan pelajar tingkatan empat, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program yang telah dimansuhkan pada tahun 2018 itu akan dilaksanakan dengan konsep baharu pada tahun hadapan.

Menurutnya, ia merangkumi 2 komponen utama iaitu Asas Ketenteraan (70%) oleh Kementerian Pertahanan dan Asas Kenegaraan (30%) oleh Akademi Kenegaraan Malaysia.

Beliau berkata, PLKN 3.0 ini merupakan salah satu strategi menanam semangat patriotisme dan usaha berterusan membentuk rizab modal insan yang bersedia digerakkan untuk apa-apa maksud pertahanan negara sekiranya diperlukan. – airtimes.my

#pertahanan #airtimes #PLKN #Malaysia #adlyzahari #belia

Related Articles

Leave a Reply