Home Semasa MYSA galak agensi kerajaan perkasa MyIDEA, urus bencana lebih sistematik, terkoordinasi dan efisien

MYSA galak agensi kerajaan perkasa MyIDEA, urus bencana lebih sistematik, terkoordinasi dan efisien

by Suraya Aziz

KUALA LUMPUR, 26 OKT – Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) menggesa penglibatan lebih banyak agensi kerajaan untuk memperkasa dan mengadaptasi penggunaan Sistem Maklumat Pengurusan Bencana (MyIDEA) bagi membolehkan misi pengesanan, penyelamatan dan pemantauan mangsa dalam kes bencana alam dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Sistem ini dibangunkan bertujuan untuk memudahkan koordinasi dan respons bencana dengan lebih pantas melalui penggunaan teknologi angkasa serta pemetaan geospatial.

Kajian lapangan berkenaan dilaksanakan di Batu Pahat, Johor yang menghadapi banjir terburuk pada bulan Mac 2023.

Pengarah Bahagian Aplikasi Perisikan Pertahanan MYSA, Brigadier Jeneral Datuk Abd Razak Sipit menjamin keberkesanan MyIDEA yang dibangunkan penyelidik tempatan ini mampu mempermudahkan pengurusan bencana.

Pengarah Bahagian Aplikasi Perisikan Pertahanan MYSA, Brigadier Jeneral Datuk Abd Razak Sipit berkata, idea pembangunan MyIDEA tercetus berikutan pelbagai respons negatif masyarakat terhadap kelewatan usaha menyelamat setiap kali banjir berlaku. Kajian lapangan dilaksanakan di Batu Pahat, Johor yang menghadapi banjir terburuk pada bulan Mac 2023.

“Kami melihat banyak rungutan di media sosial dan akhbar mengenai bagaimana usaha penyelamatan tidak terkoordinasi dengan baik dan terdapat persepsi bahawa agensi kerajaan tidak berfungsi dengan berkesan.

“Walaupun terdapat usaha keras, koordinasi antara pelbagai pihak masih tidak cukup teratur menyebabkan wujud pembaziran sumber dalam kalangan anggota penyelamat dan masa” ujarnya.

MyIDEA dilancarkan sebagai platform yang membolehkan misi penyelamatan dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan sistematik.

Justeru, MYSA melihat keperluan untuk membangunkan sebuah sistem yang sistematik untuk mengenal pasti situasi mangsa (Identify), mengesan lokasi sebenar (Detect), memastikan pengurusan menyelamat mangsa dikoordinasi dan dipantau (Ensure) dan mengarkib maklumat untuk paparan visual dan rujukan masa hadapan (Archive).

Mengulas lanjut,  aplikasi yang diperkenalkan kepada umum sejak tahun lalu ini menggunakan teknologi angkasa pemetaan satelit dan analisis data masa nyata untuk memberikan gambaran menyeluruh tentang situasi di lapangan, seterusnya mempercepatkan proses membuat keputusan dalam operasi kritikal.

“Sistem ini turut menggabungkan teknologi GPS dan telekomunikasi yang ada, di mana setiap peranti telefon mudah alih mangsa dapat dikesan. Mangsa hanya perlu mengisi maklumat asas dalam talian dan maklumat akan diterima kurang dari 30 saat,” tambahnya.

Pelbagai agensi barisan hadapan termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlibat latihan penggunaan sistem yang dijalankan di Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).

Setakat ini, latihan penggunaan sistem atau ‘Transfer of Technology (ToT)’ ini telah diberikan secara percuma kepada beberapa agensi barisan hadapan termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Bagi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sistem MyIDEA dibuat sedikit pengubahsuaian mengikut kesesuaian penugasan mereka.

MYSA berharap lebih banyak agensi kerajaan akan mengambil inisiatif untuk melatih pegawai mereka dalam penggunaan sistem MyIDEA agar pengurusan bencana di masa hadapan dapat dilaksanakan dengan lebih efisien, sekaligus menangkis persepsi negatif rakyat terhadap pengurusan bencana banjir pada masa hadapan. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #TeknologiPertahanan

Related Articles

Leave a Reply