Home Semasa Israel serang Iran: Tiada rakyat Malaysia terjejas, keadaan dipantau rapi – Wisma Putra

Israel serang Iran: Tiada rakyat Malaysia terjejas, keadaan dipantau rapi – Wisma Putra

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan oleh rejim Zionis Israel ke atas Republik Islam Iran, terutamanya di Tehran, Karaj, Kashan, Mashhad dan Shiraz pada awal pagi Sabtu.

Kementerian Luar memaklumkan, Kedutaan Malaysia di Tehran sedang memantau dengan teliti perkembangan ini dan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas oleh serangan berkenaan.

“Semua rakyat Malaysia di Iran dinasihatkan supaya bertenang, berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini serta panduan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan,” jelas Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan pada Sabtu.

Dalam kenyataan yang sama, Wisma Putra turut menegaskan serangan itu merupakan pelanggaran jelas ke atas undang-undang antarabangsa dan menjejaskan kestabilan serantau secara serius.

“Malaysia menggesa agar tindakan permusuhan dihentikan serta-merta dan kitaran keganasan ditamatkan,” tambah kenyataan itu lagi.

Tindakan berterusan Israel tanpa sebarang hukuman telah dan akan menjejaskan keselamatan serta kestabilan masa depan Timur Tengah, membawa rantau itu ke ambang konflik yang lebih meluas.

Sehingga kini, skala, jumlah korban dan tahap kerosakan masih disiasat.

Dalam masa yang sama, Wisma Puutra menjelaskan, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Tehran di alamat berikut: No. 25, 2nd Alley, North Zarafshan St., Shahrak-e-Gharb, Tehran, Republik Islam Iran.

Mereka juga boleh menghubungi kedutaan melalui telefon di +9821 8807 2444 atau +9821 8807 8606, atau melalui e-mel di [email protected]. -airtimes.my

#airtimes #semasa #Malaysia #Iran #serangan #TimurTengah

Related Articles

Leave a Reply