Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Eks HARINGAROO: Latihan bilateral Malaysia-Australia mantapkan pertahanan Wilayah Timur

Eks HARINGAROO: Latihan bilateral Malaysia-Australia mantapkan pertahanan Wilayah Timur

by Nurulhuda

SIBU, 25 Oktober 2024 – Pelaksanaan Eksesais Haringaroo Siri 74/2024 di Sibu dijangka memperkukuhkan lagi sinergi pertahanan antara Malaysia dan Australia dalam usaha menjaga keselamatan serantau.

Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD), Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi berkata, eksesais ini adalah platform strategik yang penting untuk meningkatkan tahap interoperabiliti dan hubungan bilateral Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Australia.

“Ia merupakan katalis yang membolehkan pertukaran kepakaran dan meningkatkan profesionalisme dalam menghadapi cabaran keselamatan global terutamanya di Sarawak dan Sabah,” katanya menerusi hantaran di laman media sosial Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMT TD), hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan bersama Panglima Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Bgd), Brigedier Jeneral Ahmad Norzaini Badrun ke lokasi pelaksanaan eksesais, pada Jumaat.

Beliau turut menekankan komitmen tinggi terhadap aspek kesiapsiagaan, atur gerak, dan mobiliti antara ketumbukan tentera kedua-dua negara bagi memastikan keselamatan serantau terjamin.

Terdahulu, PMT TD diberikan taklimat oleh Pegawai Memerintah Batalion Ke-3 Rejimen Renjer Diraja (3 RRD), Leftenan Kolonel Majani Japon, yang menjelaskan mengenai mekanisme latihan medan dari 22 hingga 27 Oktober 2024 di kawasan Stapang – Nanga Sekuau.

Usai taklimat, PMT TD turut berinteraksi bersama anggota 3 RRD serta Rifle Company Butterworth dari Tentera Darat Australia (RCB – TDA) untuk menilai pencapaian eksesais dan prosedur operasi.

Sebagai sebahagian daripada lawatan ini, PMT TD turut melawat Hospital Medan yang dikendalikan oleh Batalion Pertama Perubatan di Markas Kawalan 9 Briged, bagi menegaskan kepentingan elemen perubatan di medan operasi.

Eks HARINGAROO mencerminkan tahap kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia, khususnya Tentera Darat Malaysia (TDM), dalam melaksanakan operasi berskala besar dan memperkukuh latihan bersepadu demi memastikan keselamatan serta kedaulatan Sarawak dan Sabah sentiasa terjamin, seiring dengan cabaran geostrategik di rantau ini. -airtimes.my

#airtimes #Malaysia #Australia #TDM #TDA #bilateral #pertahanan #Sabah

Related Articles

Leave a Reply