Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara Bantuan kemanusiaan: TUDM aturgerak helikopter EC725 ke Filipina

Bantuan kemanusiaan: TUDM aturgerak helikopter EC725 ke Filipina

by Nurulhuda

LABUAN, 26 Okt – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini telah mengaturgerakkan sebuah helikopter EC 725 AP bagi melaksanakan misi Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana (HADR) ke Filipina.

Bantuan tersebut dilakukan susulan kejadian Taufan Tropika Kristine (Trami) yang mengakibatkan banjir besar dan tanah runtuh di negara berkenaan sejak Rabu lalu.

TUDM memaklumkan, penghantaran aset TUDM ini bertujuan menzahirkan komitmen dan keprihatinan Kerajaan Malaysia dalam memberikan sokongan logistik kepada Filipina melalui bantuan udara bagi menggerakkan barangan keperluan ke kawasan terjejas.

“Pesawat TUDM berlepas pada jam 7.00 pagi dari Pangkalan Udara Labuan menuju ke Pangkalan Udara Villamor di Manila dalam penerbangan yang dijangka mengambil masa sekitar 5 jam 30 minit, termasuk persinggahan di Pangkalan Udara Antonio Bautista bagi pengisian minyak,

“Misi ini diketuai Mejar Thaddeus Raphael ak Azis @ Sait TUDM, bersama 15 anggota TUDM, termasuk 2 juruterbang, seorang pembantu juruterbang, 2 pegawai kejuruteraan, 2 kuartermaster udara, 5 juruteknik pesawat, dan 4 anggota Pasukan Khas TUDM (PASKAU),” jelas TUDM dalam satu kenyataan pada Sabtu.

TUDM memaklumkan, Pangkalan Udara Villamor akan berfungsi sebagai pusat utama operasi sebelum pasukan TUDM diaturgerak ke kawasan bencana bagi penghantaran bantuan ke beberapa lokasi yang diperlukan, termasuk Lapangan Terbang Pili di Naga City dan Lapangan Terbang Antarabangsa di Daraga, Albay.

Misi ini sekali lagi mengukuhkan hubungan diplomatik dan kerjasama erat antara Malaysia dan Filipina dalam usaha membantu dan memulihkan semula kawasan-kawasan yang dilanda bencana secara efektif.-airtimes.my

#pertahanan #HADR #TUDM #Malaysia #Filipina #bantuan #paskau #EC725AP #airtimes

Berita penuh:

Related Articles

Leave a Reply