Home Semasa Sistem MyIDEA bantu agensi barisan hadapan tingkat koordinasi semasa bencana

Sistem MyIDEA bantu agensi barisan hadapan tingkat koordinasi semasa bencana

by Suraya Aziz

KUALA LUMPUR, 25 OKT– Penggunaan Sistem Pengurusan Maklumat Bencana (MyIDEA) yang diperkenalkan oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) tahun lalu menerima sokongan positif daripada agensi penyelamat dalam usaha meningkatkan keberkesanan pengurusan bencana di Malaysia.

Sistem yang diinovasikan berteraskan teknologi angkasa ini bertujuan memudahkan pemantauan dan koordinasi operasi bencana alam yang bukan sahaja terhad kepada tragedi banjir malah boleh disesuaikan mengikut keperluan agensi.

Pegawai Pusat Pengurusan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd Sham Md Tawal.

Mengulas lanjut, Pegawai Pusat Pengurusan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd Sham Md Tawal berkata, kesukaran yang sering berlaku semasa operasi banjir adalah pasukan penyelamat terpaksa berhadapan dengan laluan yang tidak dikenali atau “unfamiliar terrain”.

“Semasa banjir, banyak kawasan yang tenggelam, anggota pasukan pula bukan berasal dari kawasan tersebut dan ini menyukarkan anggota penyelamat melalui jalan-jalan yang tidak biasa dilalui sebelum ini. Ini meningkatkan risiko terhadap keselamatan anggota penyelamat kerana mereka tidak dapat menjangka bahaya yang mungkin wujud di kawasan tersebut,” ujarnya.

Pelbagai agensi dan pasukan diatur gerak untuk menyelamatkan mangsa sewaktu bencana banjir

 

 

Jelasnya, dengan adanya sistem MyIDEA yang dilengkapi teknologi cerapan imej satelit dan perkongsian lokasi secara langsung, anggota penyelamat dapat membuat penilaian awal kawasan-kawasan terjejas  serta merancang laluan yang lebih selamat.

“Sistem ini juga mesra pengguna di mana anggota penyelamat hanya memerlukan sedikit latihan untuk menggunakannya. JBPM mungkin boleh mengadakan kursus atau latihan dalaman untuk membiasakan anggota dengan sistem ini,” tambah beliau.

MyIDEA dianggap sebagai satu tambahan nilai kepada sistem sedia ada dan boleh menambah baik operasi menyelamat terutama dari segi mengesan mangsa yang terperangkap dalam bencana alam.

Pengarah Bahagian Aplikasi Perisikan Pertahanan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Brigadier Jeneral Datuk Abd Razak Sipit (tengah) bersama warga MYSA serta anggota-anggota penguatkuasa dari agensi berbeza yang terlibat dalam latihan penggunaan sistem atau ‘Transfer of Technology (ToT) MyIDEA.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Leftenan Kolonel (PA) Asyraf Abdul Aziz turut menyambut baik penggunaan MyIDEA dalam usaha memperkukuh koordinasi semasa bencana.

Menurut Asyraf, selain sistem yang dibangun dengan teliti dengan perisian komputer yang mudah difahami, ia sangat membantu dalam mendapatkan maklumat tepat tentang taburan mangsa bencana dan lokasi hotspot, terutama di kawasan berisiko tinggi.

“Dalam aplikasi MyIDEA, kita boleh wujudkan sistem penjejak pergerakan (tracking). Kita boleh track mangsa dan anggota petugas. Sekiranya berlaku sebarang masalah kita dapat tahu, bertindak dan merancang pnyelesaian dengan lebih awal.

“Sistem ini sememangnya memberikan nilai tambah yang ketara kerana ianya satu-satunya aplikasi yang dibangunkan untuk petugas di barisan hadapan,” tambahnya.

Kapten Muhamad Syarizal Hasnan dari Rejimen Ke-5 Artileri Diraja, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dalam perkembangan sama, Kapten Muhamad Syarizal Hasnan dari Rejimen Ke-5 Artileri Diraja, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), setelah melaksanakan latihan penggunaan sistem amat yakin  MyIDEA berpotensi dalam menyesaikan isu-isu mengesan mangsa, koordinasi antara agensi penyelamat, pemantauan urusan menyelamat dan paparan maklumat banjir secara visual yang tiada sebelum ini.

“Sebelum MyIDEA diperkenalkan, sekteriat di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) tidak dapat melaksanakan koordinasi sepenuhnya dengan agensi penyelamat dan NGO yang ada di sekitar kawasan bencana. Selain itu, tiada maklumat status tahap kritikal mangsa, tiada lokasi tepat mangsa banjir dan apakah keperluan mereka.

“Dengan adanya MyIDEA, mangsa boleh menentukan lokasi mereka (pinpoint) dengan tepat serta memberikan maklumat tentang keadaan rumah mereka, termasuk tahap kritikal banjir,” jelas Muhamad Syarizal.

Aplikasi MyIDEA dijangka akan melicinkan lagi operasi menyelamat mangsa banjir yang melibatkan usaha dari pelbagai agensi.

Ujarnya, keupayaaan MyIDEA menggunakan teknologi remote sensing, membolehkan pemantauan dan penilaian kawasan dilakukan dari jarak jauh tanpa perlu berada di lokasi kejadian sekaligus menjimatkan masa, aset dan sumber tenaga manusia.

Secara keseluruhannya, sistem ini dilihat sebagai inovasi penting dalam membantu memperkukuh pengurusan bencana di Malaysia serta memastikan operasi bencana dapat dijalankan dengan lebih lancar dan efisien pada masa hadapan. – airtimes.

#AirTimes #TeknologiPertahanan #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply