Home Semasa Sewaan Black Hawk Tentera Darat berkemungkinan batal – Mohamed Khaled

Sewaan Black Hawk Tentera Darat berkemungkinan batal – Mohamed Khaled

by Zulhaizi Rosdi

TANJUNG LOGOK, 24 OKT – Sewaan helikopter Black Hawk untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM) berkemungkinan dibatalkan pada hujung bulan ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sewaan itu berkemungkinan dibatalkan dan pihaknya perlu mencari alternatif lain.

“Kita kena faham Black Hawk yang awal itu hanya untuk disewa selama 5 tahun dan bukan untuk dibeli secara kekal.

“Jadi dalam keadaan kita batalkan itu, saya telah meminta pihak TDM untuk mencari alternatif lain kerana ini adalah sebagai ‘stop gap’ selama 5 tahun bagi kegunaan tentera darat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi sidang media selepas mengadakan lawatan ke latihan Eksesais PANAH JAGUH Siri 2/2024 di Lapang Sasar Bumi Ke Udara, Tanjung Logok, di sini pada Khamis.

Terdahulu, Kementerian Pertahanan memberikan tempoh sehingga Oktober ini kepada pembekal bagi penghantaran empat helikopter sewaan, Black Hawk untuk Tentera Darat Malaysia (TDM).

Mohamed Khaled berkata, pihaknya akan membatalkan kontrak perolehan perkhidmatan sewaan helikopter itu sekiranya gagal menepati masa yang ditetapkan.

“Belum (buat keputusan pembatalan). Kita beri masa sampai Oktober untuk penghantaran.

“Jika tiada penghantaran, kita akan batal (kontrak pembekal). Perancangan lain akan dibuat selepas pembatalan,” katanya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply