Home Semasa Parlimen: MALBATT 850-12 akan ke Lubnan bermula 6 November 2024

Parlimen: MALBATT 850-12 akan ke Lubnan bermula 6 November 2024

by Suraya Aziz

KUALA LUMPUR, 24 OKT– Pasukan pengaman Malaysian Battalion 850-12 (MALBATT 850-12) dijadualkan akan berlepas ke bumi Lubnan bagi memulakan penggiliran mereka, bermula 6 November 2024.

Kesinambungan penugasan di bawah misi pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Malaysia sejak tahun 2007.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, penggiliran ini bakal menggantikan pasukan pengaman MALBATT 850-11 yang sudah berkhidmat selama satu tahun, sejak 14 November tahun lalu.

“Kalau kita lihat MALBATT yang ke-11 ini, tarikh tempohnya (akan tamat) sehingga 14 November ini,

“Jadi selepas daripada itu, bermula 6 November ini, kita akan atur gerakkan pasukan yang baru, bagi pasukan atur gerak kita yang ke-12 (MALBATT 850-12). Itu saja yang saya maklum,” katanya semasa menjawab soalan tambahan wakil Kinabatangan, Datuk Seri Panglima Moktar Radin.

Beliau menambah, tugas MALBATT 850-11 yang dijadual tamat tempoh tugas pada 14 November 2024.

“Pasukan pengaman MALBATT 850-11 melibatkan seramai 854 anggota terdiri daripada 82 pegawai dan 772 anggota lain-lain pangkat, tiga pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang Pegawai Awam Kewangan dari Kementerian Pertahanan,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee mengenai status pasukan MALBATT di Lubnan susulan perang secara terbuka yang sudah tercetus antara Hizbullah dan Israel pengkajian semula penglibatan Malaysia dalam misi pengamanan berkenaan.

Mengulas lanjut, misi pengaman UNIFIL ini disertai oleh 50 negara anggota PBB dengan keseluruhan kekuatan berjumlah seramai 10,058 orang.

“Keadaan pasukan MALBATT 850-11 berada dalam kawalan dengan tahap keselamatan terjamin berdasarkan laporan terkini yang diterima.

“Tahap keselamatan semasa pasukan mallbat 850-11 adalah selamat dan tiada kemalangan jiwa serta kerosakan aset dikawasan yang dijaga dan dikawal oleh pasukan kita sepanjang tempoh perang antara Hizbullah-Israel,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Kementerian Pertahanan melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memantau situasi di Selatan Lubnan dan akan mengemaskini sebarang perkembangan melibatkan pasukan MALBATT 850-11. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan

Related Articles

Leave a Reply