Home Pertahanan dan Keselamatan Perolehan pertahanan: Kerajaan pastikan tiada jurang – Khaled Nordin

Perolehan pertahanan: Kerajaan pastikan tiada jurang – Khaled Nordin

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 24 Okt – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada jurang dalam perolehan pertahanan negara.

Menurut beliau, Kementerian Pertahanan (MINDEF) sentiasa memberi perhatian dan meneliti perkembangan terkini dalam taktik dan cara-cara peperangan moden.

“Kami sentiasa membuat penelitian dan akan memastikan tiada jurang antara kemampuan yang dimiliki negara dengan keperluan peperangan masa hadapan,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke latihan Eksesais PANAH JAGUH Siri 2/2024 di Lapang Sasar Bumi Ke Udara, Tanjung Logok, Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap persoalan mengenai persediaan negara dalam menghadapi ancaman dron yang semakin meningkat.

Namun begitu, Khaled menjelaskan bahawa terdapat beberapa perkara yang tidak dapat didedahkan kerana ia melibatkan kerahsiaan negara.

“Walaupun begitu, kami sentiasa memantau penggunaan dron, pesawat udara tanpa pemandu (Unmanned Aerial Vehicle, UAV), serta kebolehan perisikan. Malah, penggunaan satelit juga sedang dalam kajian,” tambahnya.

Beliau turut menyatakan bahawa perancangan untuk mewujudkan Angkatan Tentera Masa Hadapan sedang giat dilaksanakan, selari dengan usaha pemodenan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya sentiasa meneliti penggunaan dron, pesawat udara tanpa pemandu (Unmanned Aerial Vehicle, UAV) , serta kehebatan perisikan dalam usaha memodenkan pertahanan negara. Foto: AirTimes/Al-Fahimie

Khaled menegaskan, langkah ini amat penting untuk memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terjamin.

Terdahulu, Menteri Pertahanan telah diberikan taklimat mengenai pelaksanaan eksesais oleh Panglima Gerup Artileri Pertahanan Udara (GAPU), Brigedier Jeneral Azhar Mustapha, sebelum menyaksikan simulasi serangan udara melibatkan aset-aset taktikal ATM.

Latihan ini, yang bermula sejak 20 Oktober 2024, melibatkan 82 orang pegawai dan 780 anggota dari pasukan di bawah pemerintahan GAPU, Tentera Darat Malaysia (TDM).

Antara aset yang digunakan dalam latihan tersebut termasuk Meriam 35mm Oerlikon dan misil Starstreak.

Menteri Pertahanan juga berkesempatan mengendalikan Meriam 35mm Oerlikon secara automatik menggunakan Radar Kawalan Tembakan, Radar Skyguard.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Lokman Hakim Ali.-airtimes.my

#ATM #Mindef #Malaysia #airtimes #pertahanan #aset

Related Articles

Leave a Reply