Home Pertahanan dan Keselamatan XBL24: Latihan bersama lima negara perkukuh pertahanan serantau

XBL24: Latihan bersama lima negara perkukuh pertahanan serantau

by Nurulhuda

SINGAPURA, 18 Okt – Lebih daripada 2,000 anggota tentera negara-negara Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) iaitu Australia, Malaysia, New Zealand, Singapura dan United Kingdom selesai menjalani Latihan Bersama Lima 2024 (XBL24), Singapura.

Majlis penutup XBL24 yang turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab. Rahman, menyaksikan pencapaian besar dalam usaha memperkukuhkan kerjasama pertahanan serantau.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkn, latihan selama 18 hari itu telah melaksanakan pelbagai operasi ketenteraan secara bersama.

“Latihan XBL24 menampilkan penyertaan 38 pesawat, 5 kapal perang, 4 sistem pertahanan udara darat, lebih daripada 250 anggota tentera darat, dan 4 pasukan penyelam,” jelas MK ATM dalam hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

Menurut MK ATM, XBL24 telah memberi peluang kepada semua negara terlibat untuk meningkatkan kebolehlaksanaan operasi dan memperkuat hubungan diplomatik serta pertahanan.

Latihan ini turut mencatat sejarah dengan penyertaan pesawat pejuang generasi kelima buat kali pertama, termasuk 6 F-35A dari Australia dan sebuah pesawat rondaan maritim P-8A dari New Zealand.

Penglibatan aset-aset canggih ini memberi peluang kepada angkatan tentera untuk menguji teknologi terkini dalam suasana latihan yang realistik.

Dalam ucapan penutup, Laksamana Muda Kwan Hon Chuong, Panglima Armada Tentera Laut Republik Singapura (RSN) merangkap Pengarah Latihan, menyatakan bahawa Latihan Bersama Lima 2024 direka untuk memperkukuh kerjasama serta kebolehlaksanaan antara angkatan tentera FPDA.

“Saya yakin semua peserta akan mendapat pengalaman profesional yang berharga dan membina persahabatan yang erat sepanjang latihan ini,” jelasnya.

Latihan Bersama Lima 2024 diharap akan terus memperkukuhkan kerjasama pertahanan antara negara-negara FPDA dan menjadi asas yang kukuh bagi menghadapi cabaran keselamatan pada masa hadapan.-airtimes.my

#pertahanan #airtimes #FPDA #Malaysia #XBL24 #Singapura

Related Articles

Leave a Reply