Home Semasa Belanjawan 2025: Kerajaan luluskan Forest City sebagai Pulau Bebas Cukai

Belanjawan 2025: Kerajaan luluskan Forest City sebagai Pulau Bebas Cukai

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 18 OKT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mengumumkan keputusan kerajaan yang meluluskan Forest City sebagai Pulau Bebas Cukai.

Pengumuman itu merupakan antara beberapa inisiatif penting yang bertujuan untuk mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Singapura.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada perancangan untuk merancakkan pembangunan Forest City sebagai hab pelancongan dan kewangan bertaraf antarabangsa seperti mana yang terkandung dalam Belanjawan 2025/

Dalam ucapan beliau di Parlimen, Datuk Seri Anwar menekankan bahawa Memorandum Persefahaman Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (Johor-Singapore Special Economic Zone, JSSEZ) yang dimeterai pada Januari 2024 telah mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk mempertingkatkan integrasi ekonomi dan memanfaatkan potensi strategik lokasi Johor-Singapura sebagai nadi pembangunan serantau.

“Kerajaan meluluskan Forest City sebagai Pulau Bebas Cukai bagi menyokong aktiviti pelancongan dan ekonomi setempat.

“Pakej galakan cukai bagi Zon Kewangan Khas Forest City turut diumumkan bagi merancakkan aktiviti perkhidmatan kewangan seperti perkhidmatan perniagaan global kewangan dan teknologi kewangan (Fintech),” kata Perdana Menteri.

Selain itu, kerajaan turut melancarkan Skim Pejabat Keluarga Tunggal di Zon Kewangan Khas Forest City.

Skim ini bertujuan untuk menggalakkan pengurusan dana keluarga melalui penubuhan pejabat keluarga yang akan memudahkan operasi pelaburan oleh pelabur individu atau keluarga.

“Suruhanjaya Sekuriti Malaysia akan bertindak sebagai badan berkuasa yang meluluskan pemberian Pas Residen dan Pas Penggajian kepada pelabur keluarga pengasas dan profesional pelaburan yang terlibat dalam Pejabat Keluarga tersebut,” kata Perdana Menteri. – airtimes.my

#AirTimes #malaysia #Belanjawan 2025

Related Articles

Leave a Reply