Home Semasa Sikorsky CH-53E Super Stallion: Aset helikopter pengangkut terkuat AS

Sikorsky CH-53E Super Stallion: Aset helikopter pengangkut terkuat AS

by Suraya Aziz

Sikorsky CH-53E Super Stallion diakui sebagai salah satu helikopter pengangkut berat paling berkuasa di dunia dengan keupayaannya yang terus mengagumkan pemerhati ketenteraan global.

Dikenali sebagai ‘mammoth‘ dan ‘gergasi udara’, ia kini dioperasikan oleh pasukan tentera laut serta Kor Marin Amerika Syarikat (AS).

Mengulas lanjut, helikopter tiga enjin ini merupakan hasil kejuruteraan canggih oleh Sikorsky Aircraft Corporation yang pertama kali diperkenalkan pada awal tahun 1980-an.

Helikopter gergasi ini mempunyai beberapa varian utama termasuk CH-53D, CH-53E Super Stallion dan CH-53K King Stallion.

Selain itu, helikopter kategori ‘heavy lift’ ini dicipta khusus untuk misi pengangkutan strategik dan bantuan bencana dengan keupayaannya membawa muatan berat sehingga 16,329 tan melalui sling luaran.

CH-53E ini dilengkapi dengan tiga enjin turboshaft General Electric T64-GE-416 serta sistem rotor tujuh bilah. Ia sekali gus membolehkan  helikopter berkenaan mengangkut kenderaan berperisai, meriam, helikopter dan kargo yang lebih besar ke lokasi medan perang yang sukar dicapai.

Menurut laporan media tempatan, CH-53E Super Stallion ini sudah berkhidmat dalam ketenteraan lebih daripada 30 tahun dan AS kekal sebagai pengoperasi terbesar sehingga hari ini.

Sejak diperkenalkan, helikopter gergasi ini bukan sahaja memainkan peranan penting dalam pelbagai operasi ketenteraan seperti Perang Teluk di Timur Tengah, Afghanistan dan Iraq malah misi bantuan bencana seperti Taufan Katrina serta gempa bumi Haiti.

Related Articles

Leave a Reply