Home SemasaGlobal Serang pengaman UNIFIL adalah tindakan jenayah perang – PBB

Serang pengaman UNIFIL adalah tindakan jenayah perang – PBB

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 14 OKT – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), António Guterres menegaskan serangan terhadap kakitangan serta anggota pengaman UNIFIL adalah satu tindakan jenayah perang.

Beliau telah menyeru semua pihak termasuk tentera Israel untuk berhenti daripada mengambil sebarang tindakan yang membahayakan anggota pengaman.

“Serangan terhadap pasukan pengaman adalah satu pelanggaran undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Ia mungkin dikira sebagai jenayah perang,” kata Guterres dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stéphane Dujarric

Terdahulu, kenyataan itu mengesahkan keadaan semasa yang berlaku di selatan Lubnan begitu genting dan membimbangkan.

Ini berikutan siri pertempuran di antara Israel-Hezbollah di kawasan sempadan Lubnan yang di antaranya berhampiran dengan kawasan yang diduduki oleh pasukan pengaman UNIFIL.

Sehingga kini, seramai 5 orang pengaman UNIFIL disahkan cedera dengan salah seorang daripadanya parah akibat bedilan tentera Israel dan juga peluru sesat terhadap ibu pejabat pasukan itu di Naqoura.

Pada Ahad, UNIFIL mengesahkan satu fasiliti mereka telah Ramyeh telah diceroboh oleh kereta kebal Merkava tentera Israel. Selain itu, anggota pengaman yang berlindung di fasiliti terbabit mengalami masalah kesihatan selepas tentera Israel melepaskan beberapa das tembakan asap di kawasan berhampiran.

Selain itu, UNIFIL turut melaporkan tindakan Israel menghalang konvoi kritikal UNIFIL di Mers Al Jabal. – airtimes.my

#AirTimes #UNIFIL #Lubnan #PBB

Related Articles

Leave a Reply