Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara Panglima: Helikopter Leonardo AW149 adalah spesifikasi tentera, penuhi keperluan operasi TUDM

Panglima: Helikopter Leonardo AW149 adalah spesifikasi tentera, penuhi keperluan operasi TUDM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 14 OKT – Pemilihan helikopter Leonardo AW149 bagi menggantikan pesawat Nuri atau Sikorsky S-61 memenuhi keperluan penugasan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta dilengkapi spesifikasi ketenteraan.

Panglima Tentera Udara, Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan berkata, spesifikasi helikopter yang akan diterima pihaknya berbeza daripada versi komersial yang digunakan untuk kegunaan awam.

“Helikopter tersebut amat sesuai untuk melaksanakan 3 penugasan utama iaitu mencari dan menyelamat (SAR), pencarian dan penyelamatan tempur (CSAR) serta utiliti,

“Dalam hal ini, kami telah menyenaraikan spesifikasi bermula dari satu tahap tertentu, hingga ke tahap yang lebih tinggi bagi melaksanakan tugas-tugas itu. Penilaian dilakukan mendapati Leonardo AW149 dengan spesifikasi ketenteraan ini, dilihat berada dalam lingkungan tahap spesifikasi diperlukan,” katanya seperti dilaporkan oleh media tempatan.

Menurut beliau, penilaian dijalankan terhadap AW149 kemudiannya mendapati ia memenuhi spesifikasi ditentukan TUDM.

“Jika kita memilih untuk mendapatkan helikopter jenis lain, kita mungkin perlu berbelanja lebih. Lagi pun kos operasi Leonardo AW149 ini mungkin lebih rendah daripada helikopter jenis lain,

“Helikopter ini memenuhi spesifikasi yang kami nyatakan dan ia mampu melaksanakan tugasan-tugasan itu,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perbarisan Pemakaian Sayap Penerbangan Kursus Asas Penerbangan 85/23 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter 65/23 di Kolej Tentera Udara (KTU) di Kepala Batas pada Ahad.

Terdahulu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, rancangan perolehan helikopter baharu untuk TUDM itu melibatkan 24 buah helikopter yang dilaksanakan secara berfasa.

Ab Rahman berkata, Fasa 1 libatkan 12 unit helikopter Combat Search And Rescue (CSAR) berkeupayaan utiliti dan Fasa 2 adalah 12 buah lagi helikopter.

Sementara itu, bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz turut mempersoalkan pemilihan Leonardo AW149 bagi menggantikan Nuri kerana mendakwa helikopter itu lebih bersifat untuk kegunaan awam di pelantar minyak, berbanding kegunaan tempur.

Ahli Parlimen Tanah Merah itu mencadangkan agar helikopter H225M (EC725 Caracal) dipertimbangkan sebagai pilihan, sekiranya usaha untuk mendapatkan helikopter UH-60 Black Hawk menghadapi kesulitan.

Mengulas lanjut Mohd. Asghar menjelaskan, helikopter berkenaan bakal diperolehi secara sewa beli iaitu pihaknya tidak perlu membuat sebarang penyelenggaraan terhadap aset tersebut.

“Sekiranya kontrak sewa beli itu dimeterai untuk tempoh 15 tahun, itu bererti kami akan memperolehi aset tersebut selepas tempoh berkenaan. Pihak kami tidak perlu membuat sebarang penyelenggaraan sebaliknya kerja-kerja itu akan dilakukan oleh kontraktor.

“Dalam masa sama, TUDM juga akan menghantar krew untuk diberi latihan mengenai helikopter ini. Ertinya jika helikopter tersebut perlu dihantar ke mana-mana dalam keadaan tertentu, kami juga boleh melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan tanpa kehadiran kontraktor,” ujarnya lagi. -airtimes.my

#TUDM #airtimes #AW149 #pertahanan #helikopter #ATM

Related Articles

Leave a Reply