Home Pertahanan dan Keselamatan Nasib KD PENDEKAR akan ditentukan kelak – TLDM

Nasib KD PENDEKAR akan ditentukan kelak – TLDM

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 14 OKT – Nasib kapal KD PENDEKAR yang berusia lebih 45 tahun akan ditentukan kelak.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menjelaskan masa hadapan kapal itu akan diputuskan bersekali dengan rancangan terhadap kapal-kapal usang yang masih lagi dalam perkhidmatan.

Jelasnya, ia dilakukan melalui rancangan “Penerimaan Berperingkat – Penghentian Berperingkat” (Phasing In – Phasing Out).

Terdahulu, TLDM mengesahkan kapal KD PENDEKAR yang tenggelam pada akhir Ogos lalu berjaya diapungkan pada petang 12 Oktober 2024.

“Kapal kini sedang menjalani pembaikan awalan sebelum diserahkan kembali kepada TLDM,

“Operasi menyelamat (salvage) KD PENDEKAR pada dasarnya telah dapat diselesaikan walaupun terdapat beberapa cabaran,

“Masa hadapan kapal yang berusia lebih 45 tahun tersebut akan diputuskan bersekali dengan rancangan “Phasing In – Phasing Out” ( “Penerimaan Berperingkat – Penghentian Berperingkat”) kapal-kapal usang yang masih di dalam perkhidmatan secara menyeluruh selaras dengan Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15-to-5,” kata kenyataan TLDM pada Ahad.

Kapal serang laju (Fast Attack Craft) kelas HANDALAN merupakan kapal buatan Sweden dan direka berasaskan  reka bentuk kapal serang laju Spica-M.

KD PENDEKAR ditauliahkan ke dalam perkhidmatan TLDM pada tahun 1979.

KD PENDEKAR sebelum ini dilaporkan tenggelam sepenuhnya pada 3.54 petang 25 Ogos 2024.

Ketika kejadian, kapal malang itu mengalami kebocoran dan kebanjiran besar selepas terlanggar objek di bawah permukaan air semasa berada di kedudukan 2 batu nautika tenggara Tanjung Penyusop, Johor.

Semasa kejadian, kesemua anak kapal KD PENDEKAR telah berjaya diselamatkan.

TLDM kemudiannya melancarkan operasi salvaj (menyelamatkan) kapal sebaik sahaja disahkan tenggelam. Namun begitu, operasi tersebut telah mengorbankan nyawa seorang anggota penyelam TLDM.

Operasi menyelamatkan kapal bersesaran 240 tan itu kemudiannya diserahkan kepada syarikat swasta. – airtimes.my

#AirTimes #TLDM #KDPENDEKAR

Related Articles

Leave a Reply