Home Semasa Mana-mana negara yang nak berlabuh, kita benarkan, kecuali Israel – Anwar

Mana-mana negara yang nak berlabuh, kita benarkan, kecuali Israel – Anwar

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 14 OKT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan menghalang mana-mana negara untuk melabuhkan kapal mereka di negara ini, kecuali Israel.

Menurut beliau, ini adalah bertepatan dengan dasar Malaysia yang berbaik dengan semua negara.

Perdana Menteri menyatakan perkara tersebut ketika menyampaikan ucapan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-78 Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) pada Ahad.

Beliau mengulas isu yang ditimbulkan berhubung kehadiran 2 buah kapal China yang berlabuh di Pulau Pinang pada awal Oktober lalu.

“Kita nak jelaskan dasar untuk berbaik dengan semua negara, kapal dia nak berlabuh dalam semua pelabuhan kita bagi semua negara kita akan terus izinkan, no compromise (tiada kompromi),

“Yang kita tak bagi Israel, yang lain (selain Israel) masuklah. Kerana itu dasar yang kita amalkan sekarang,” kata Anwar Ibrahim.

Beliau turut menempelak dakwaan sesetengah pihak bahawa kehadiran kapal China ke Pulau Mutiara itu adalah sesuatu yang ‘luar biasa’.

“Sekarang pasal kapal China nak datang Pulau Pinang nak serang Pulau Pinang,

“Kita ada joint military operations on a small scale (operasi ketenteraan bersama berskala kecil) dalam kawasan kita dengan Amerika Syarikat, dengan India, dengan China, dengan Singapura, dengan Indonesia, dengan India jadi semua,

“Apa dia masalah dia? Bagi saya tak ada masalah. Hal ini telah berlaku sejak lama,

“Malah kalau di Kerajaan dulu yang bersama PAS dan BERSATU, itu kapal terbang Israel pun boleh lalu, kapal Israel Zim pun boleh masuk pelabuhan. Tapi tak jadi isu. Sekarang (kapal China) jadi isu,” ujar beliau yang membidas kenyataan pembangkang. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #China #Semasa

Related Articles

Leave a Reply