Home Semasa Malaysia sertai 40 buah negara kecam serangan Israel terhadap UNIFIL

Malaysia sertai 40 buah negara kecam serangan Israel terhadap UNIFIL

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 14 OKT – Malaysia dan 39 buah negara lain yang menyumbang kepada misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) telah mengecam serangan terbaru Israel terhadap misi itu dan menyeru agar satu siasatan dijalankan terhadap insiden-insiden tersebut.

Sehingga pagi Ahad, seramai 5 anggota pengaman  UNIFIL, telah cedera berikutan pertempuran di antara Israel dan Hezbollah.

Kesemua 40 negara yang menandatangani kenyataan bersama itu berkata mereka “amat mengecam serangan baru-baru ini ke atas anggota pengaman UNIFIL”.

“Tindakan sebegini mesti dihentikan serta-merta dan harus disiasat dengan sewajarnya,

“Kami menganggap peranan UNIFIL sebagai sangat penting memandangkan situasi yang semakin memuncak di rantau ini,” kata kesemua 40 negara dalam kenyataan yang diterbitkan di akaun media sosial milik pihak Misi Poland ke PBB.

Kenyataan itu juga menyeru “pihak-pihak yang terlibat dalam konflik” untuk memastikan keselamatan dan perlindungan anggota pengaman “supaya mereka dapat terus … melaksanakan tugas mereka dalam mediasi dan sokongan kepada keamanan serta kestabilan.”

Sepanyol, Perancis, dan Itali telah terlebih dahulu mengecam serangan terhadap UNIFIL sebagai “tidak dapat diterima.”

Pada hari Jumaat, Presiden AS Joe Biden berkata beliau “dengan tegas” menggesa Israel agar berhenti menyasarkan anggota pengaman PBB.

UNIFIL menyatakan bahawa kemudahan mereka telah “berulang kali diserang” dan bahawa pasukan Israel telah “dengan sengaja” menembak ke arah ibu pejabat misi di bandar Naqoura.

Israel sebelum ini meminta UNIFIL untuk berundur dari beberapa kedudukan mereka, tetapi permintaan itu tidak diendahkan oleh PBB yang mahukan resolusi yang ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan (UNSC). – airtimes.my

#AirTimes #Global #UNIFIL #MALBATT

Related Articles

Leave a Reply