Home SemasaGlobal Anggota pengaman UNIFIL masih kekal di posisi masing-masing: PBB

Anggota pengaman UNIFIL masih kekal di posisi masing-masing: PBB

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 14 OKT – Walaupun berhadapan dengan detik sukar dan mencemaskan, anggota pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) masih lagi tetap di posisi mereka.

Perkara tersebut ditegaskan oleh Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stéphane Dujarric dalam satu kenyataan.

“Pasukan pengaman UNIFIL masih berada di semua posisi, dan bendera PBB terus berkibar,

“Setiausaha Agung (Antonio Guterrez) memberi penghormatan kepada kakitangan UNIFIL yang berdedikasi,

“Setiausaha Agung mengulangi bahawa keselamatan kakitangan dan harta benda PBB mesti dijamin, dan kekebalan premis PBB mesti dihormati pada setiap masa tanpa pengecualian,” kata Stéphane.

Menurut beliau, perkembangan yang berlaku di selatan Lubnan semenjak beberapa hari lalu telah menyebabkan kecederaan di kalangan anggota pengaman UNIFIL. Sehingga kini, 5 anggota pengaman di Selatan Lubnan telah disahkan cedera akibat pertempuran yang tercetus di antara Israel dan Hezbollah.

Selain itu, Stéphane turut menyatakan insiden yang berlaku di Ramyah adalah membimbangkan.

Sebelum ini Air Times memetik kenyataan UNIFIL yang mengesahkan insiden di sektor Ghana yang menyebabkan sejumlah anggota pengaman UNIFIL mengalami masalah kesihatan selepas tentera Israel melepaskan tembakan yang menghasilkan asap.

Malah, 2 buah kereta kebal Merkava tentera Israel sebelum itu telah bertindak merosakkan pagar dan menceroboh masuk ke dalam posisi UNIFIL.

Stéphane menyatakan pihak UNIFIL secara berterusan menilai dan mengkaji semua faktor untuk menentukan pendirian dan kehadirannya.

“Misi ini mengambil semua langkah yang mungkin untuk memastikan perlindungan pasukan pengamannya,

“Peranan UNIFIL dan kehadirannya di selatan Lubnan adalah berdasarkan mandat Majlis Keselamatan PBB,

“Dalam konteks ini, UNIFIL komited untuk mengekalkan keupayaannya dalam menyokong penyelesaian diplomatik berdasarkan resolusi 1701, yang merupakan satu-satunya jalan ke hadapan,” katanya. – airtimes.my

#AirTimes #UNIFIL #PBB

Related Articles

Leave a Reply