Home Pertahanan dan Keselamatan ESSCOM: 6 ditahan, RM1.4 juta wang tunai dirampas di Tawau

ESSCOM: 6 ditahan, RM1.4 juta wang tunai dirampas di Tawau

by Nurulhuda

TAWAU, 12 Okt – Enam individu berumur antara 40 hingga 47 tahun ditahan manakala sejumlah RM1.4 juta wang tunai turut dirampas dalam serbuan Operasi Jenayah Rentas Sempadan (JRS) di daerah Tawau.

Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Datuk Victor Sanjos berkata, operasi terbabit dikoordinasikan ESSCOM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman.

“Kesemua individu terbabit ditahan mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk siasatan lanjut.

“Selain itu, beberapa peralatan seperti telefon dan dokumen serta fail-fail berkaitan turut dirampas semasa operasi dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Victor berkata, tujuan utama operasi adalah demi menjamin keselamatan dan memelihara ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) selain bertujuan membanteras penyeludupan barang tidak bercukai secara menyeluruh sehingga ke akar umbi.

“ESSCOM komited dalam membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan terutamanya di ESS Zone bagi menyokong pembangunan negara dan pengukuhan sosioekonomi masyarakat berlandaskan nilai ihsan, kesejahteraan, keyakinan dan kemampanan demi memastikan hasrat Agenda Malaysia MADANI dicapai.

“ESSCOM akan terus memperhebatkan operasi bersepadu seumpama ini ke daerah-daerah ESS Zone bagi mengekang mana-mana elemen jenayah rentas sempadan yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam di pantai Timur Sabah,” ujarnya lagi.

Tambahnya, selaras dengan kejayaan Op JRS ESSCOM yang dilaksanakan pada 11 Oktober dan menyasarkan 9 buah premis di sini ESSCOM menzahirkan penghargaan kepada petugas seramai 84 orang terdiri daripada pegawai dan anggota dari LHDN, PDRM Bukit Aman serta ESSCOM.

Dalam masa yang sama, beliau juga menyeru kepada masyarakat untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESSZONE ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072.-airtimes.my

#ESSCOME #ESSZONE #wangharam #airtimes #Sabah

Related Articles

Leave a Reply