Home Teknologi Pertahanan Reka bentuk terperinci kapal LCS siap, LUNAS telah serahkan kepada TLDM

Reka bentuk terperinci kapal LCS siap, LUNAS telah serahkan kepada TLDM

by Zaki Salleh

LUMUT, 8 OKT – Reka bentuk terperinci (detailed design) yang merupakan perkara terpenting dalam  pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) telah siap bagi membolehkan projek memasuki fasa seterusnya.

Penyerahan telah dilakukan di limbungan LUNAS di Lumut, Perak dan dikongsi menerusi laman Facebook syarikat berkenaan.

Lumut Naval Shipyard (LUNAS) telah menyerahkan reka bentuk terperinci itu kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 23 September lalu.

Menerusi hantaran tersebut, LUNAS memaklumkan, penyerahan rasmi ini menandakan pencapaian satu perbatuan (milestones) penting dalam fasa projek LCS.

Pencapaian tersebut merupakan langkah kritikal dalam menyiapkan projek LCS bagi memuktamadkan fasa pembinaan.

“Ini memastikan LCS dibina mengikut piawaian kualiti tertinggi dan memenuhi spesifikasi yang ditetapkan,

“Pencapaian ini bukan sahaja menyerlahkan komitmen LUNAS yang tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan dalam setiap fasa projek tetapi juga mempamerkan usaha kerjasama LUNAS dan TLDM.

“Bersama-sama, kami mewujudkan semangat bekerja sebagai satu pasukan, bersatu dalam dedikasi kami untuk menyempurnakan pembinaan LCS untuk negara,” ujar LUNAS.

Ketua Pegawai Eksekutif LUNAS, Ir. Azhar Jumaat; Pengarah Projek LCS di LUNAS, Kepten (B) Rosnizam Che Puteh dan Ketua Pengarah Projek LCS Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Pertama Ir. Ts. Franklin Jayasekhar Joseph hadir pada majlis itu.

Turut hadir ialah Pengarah Kejuruteraan Pasukan Projek LCS TLDM, Kepten Ir. Malik Sulaiman, Pengarah Program LCS (Naval Group), Denise Garnier dan delegasi TLDM.

Isu kelewatan menyiapkan reka bentuk terperinci LCS sebelum ini disuarakan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) apabila dibimbangi melewatkan pembinaan kapal.

Dalam laporannya Februari lalu, PAC secara terperinci menjelaskan tentang jenis-jenis kerja yang masih tertangguh terutamanya reka bentuk terperinci kapal.

Walaupun ia dikatakan masalah kosmetik kerana tidak melibatkan struktur utama kapal tetapi pihak PAC menganggap perkara itu perlu diberikan perhatian.

Bagaimana pun, sebaliknya Kementerian Pertahanan (MINDEF) pada Oktober 2022 memaklumkan, sebanyak 94 peratus reka bentuk terperinci LCS telah disiapkan oleh pihak kontraktor.

Baki 6 peratus yang belum disiapkan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. selaku syarikat pembuat pada masa itu adalah membabitkan reka bentuk terperinci yang tidak kritikal iaitu zon kapal atas paras air.

Setelah projek LCS diambil alih kerajaan, Boustead Naval Shipyard (BNS) telah dijenamakan semula sebagai Lumut Naval Shipyard Sdn. Bhd. (LUNAS) dan bukan lagi sebahagian daripada Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semasa mengadakan lawatan kerja ke Lumut pada Jun lalu memberitahu, pembinaan LCS yang diambil alih oleh LUNAS telah mengikut jadual yang ditetapkan.

Kapal LCS pertama, KD Maharaja Lela telah diluncurkan ke air pada 23 Mei lalu, manakala  fasa seterusnya adalah pemasangan peralatan sebelum menjalani beberapa fasa ujian.

TLDM dijadual akan menerima kelima-lima kapal LCS pada tahun 2029 dan memerlukan tambahan kos RM2.098 bilion daripada kos asal RM9.128 bilion. – airtimes.my

#AirTimes #Pertahanan #LUNAS #TLDM

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!