KUALA LUMPUR, 8 OKT – Rancangan perolehan F/A-18 dari Kuwait untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilihat terus memberikan perkembangan positif.
Terbaharu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan Malaysia dan Kuwait telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi tujuan itu.
“Malaysia dan Kuwait bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama bagi memulakan perbincangan serta rundingan bagi tujuan perolehan pesawat tempur jenis Legacy Hornet berkenaan,” kata Menteri Pertahanan di akaun media sosial rasmi beliau.
Terdahulu, Khaled Nordin telah melakukan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri Kuwait, Sheikh Fahad Yousef Saud Al-Sabah.
“Semasa pertemuan, saya telah menyatakan komitmen Malaysia untuk memperkukuh dan mempertingkat kerjasama pertahanan antara dua negara,
“Komitmen ini akan dizahirkan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang kini berada di peringkat akhir,
“Saya turut menyatakan hasrat Malaysia untuk memperoleh pesawat tempur jenis F/A-18 Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait, dan telah menerima maklum balas positif daripada beliau mengenainya,” jelas Menteri Pertahanan.- airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #Kuwait #Hornet