Home Semasa Malaysia ketengahkan isu Laut China Selatan pada Sidang Kemuncak ASEAN di Laos

Malaysia ketengahkan isu Laut China Selatan pada Sidang Kemuncak ASEAN di Laos

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Malaysia akan menyuarakan pendirian mengenai isu Laut China Selatan serta perkembangan di Myanmar, Palestin serta Asia Barat pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di Vientiane, Laos.

Kementerian Luar (Wisma Putra) memaklumkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke sidang berkenaan yang berlangsung dari 8 hingga 11 Oktober 2024.

Menurut Wisma Putra, sidang itu menyediakan platform penting bagi Malaysia untuk memperjelas kedudukan negara mengenai isu berkenaan, terutamanya dalam usaha mengekalkan kestabilan dan keamanan serantau.

Selain Sidang Kemuncak ASEAN, Perdana Menteri turut dijadualkan menghadiri Sidang-sidang Kemuncak antara ASEAN dan tujuh Rakan Dialog iaitu, Australia, China, Jepun, India,Korea, Amerika Syarikat dan Kanada.

Perdana Menteri juga akan menyertai Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur, dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Perdana Menteri menghadiri Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia, sesi-sesi sua muka antara Pemimpin-pemimpin ASEAN dengan wakil-wakil dari Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), wakil-wakil Belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC),” jelas Wisma Putra dalam kenyataan, hari ini.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan akan memberi peluang bagi Malaysia berkongsi perspektif negara secara aktif dan bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu penting.

Wisma Putra berkata, antara isu yang bakal diketengahkan ialah usaha pembangunan komuniti ASEAN dan Visi Komuniti ASEAN 2045, keamanan dan kestabilan rantau, integrasi ekonomi serantau, ekonomi hijau, teknologi baharu dan baru muncul.

Ini termasuk isu peralihan tenaga, keterjaminan makanan dan proses ke arah keahlian penuh Timor-Leste dalam ASEAN, dan hubungan ASEAN dengan rakan-rakan luar.

“Penglibatan Malaysia dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan menzahirkan komitmen teguh Malaysia terhadap ASEAN, usahanya untuk meningkatkan kerjasama dan integrasi serantau,

“Ia selain mempromosi dan mengekalkan keamanan, kestabilan, dan kemakmuran di dalam dan luar Asia Tenggara,” kata Wisma Putra.

Pada majlis penutup sidang kemuncak tersebut, Laos sebagai Pengerusi ASEAN 2024 akan menyerahkan jawatan Pengerusi kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025.

Sebelum sidang kemuncak itu, Menteri Luar Negeri akan menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN ke-58, Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN ke-28 dan Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN ke-35. -airtimes.my

#Malaysia #Laos #ASEAN #DSAI #airtimes #semasa

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!