Home Semasa Majikan di Johor perlu beri masa mencukupi untuk solat Jumaat

Majikan di Johor perlu beri masa mencukupi untuk solat Jumaat

by Bernama

JOHOR BAHRU, 8 Okt – Semua majikan di Johor diminta mematuhi titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail agar memberi ruang dan masa mencukupi kepada pekerja beragama Islam untuk menunaikan solat Jumaat apabila penyelarasan semula cuti hujung minggu dilaksanakan bermula 1 Jan tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor Lee Ting Han berkata, jika majikan gagal berbuat demikian, tindakan boleh dikenakan terhadap mereka yang terlibat.

“Seperti yang telah dititah, kami akan adakan sesi libat urus lebih mendalam dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) serta pemain industri dan pihak majikan dalam waktu terdekat agar titah ini dapat dilaksana dengan efektif. Semua pekerja Muslim perlu diberi ruang dan masa secukupnya untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai orang Islam khususnya waktu solat Jumaat.

“Oleh itu, pihak industri dan majikan yang tidak beri ruang secukupnya, dijangka berdepan tindakan,” katanya kepada pemberita selepas program Green Legacy Johor Summit 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Beliau berkata penyelarasan semula cuti hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Jan 2025 di Johor itu disambut baik bukan sahaja oleh golongan pekerja, ibu dan bapa, tetapi juga sektor swasta dan perbankan di negeri ini.

“Pertukaran ini akan meningkatkan produktiviti Johor secara keseluruhan apabila waktu bekerja selari bagi pentadbiran kerajaan dan sektor ekonomi dan perbankan dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Selain itu, sektor runcit juga akan terima impak positif apabila ibu bapa dapat meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak pada hari cuti Sabtu dan Ahad,” katanya.

Semalam, Tunku Mahkota Ismail bertitah penyelarasan semula cuti hujung minggu itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor.

Tunku Mahkota Ismail turut bertitah agar semua syarikat-syarikat swasta, pihak kerajaan dan pihak yang berkaitan memberikan ruang dan masa yang mencukupi untuk pekerja Muslim menunaikan solat Jumaat.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dilapor berkata penyelarasan semula cuti hujung minggu itu akan melibatkan kesemua penduduk Johor terutama 587,343 pelajar dan 1.948 juta tenaga kerja sektor kerajaan dan swasta.- Bernama

#semasa #Johor #cutihujungminggu #Malaysia #airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!