Home Pertahanan dan Keselamatan 69 Komando jalankan Kursus Asas Selam Taktikal dan Teknikal (OCBA) Siri 1/2024

69 Komando jalankan Kursus Asas Selam Taktikal dan Teknikal (OCBA) Siri 1/2024

by Zaki Salleh

IPOH, 8 OKT – Melatih kecekapan dan ketangkasan anggota pasukan khas dalam cabang kemahiran khusus merupakan kesinambungan dalam melaksanakan penugasan yang ditetapkan.

Ini termasuklah dalam kemahiran selaman tempur yang mana ada cabaran tersendiri menanti pelatih.

Disifatkan sebagai antara kursus yang mencabar, namun bagi 27 pegawai dan anggota 69 Komando, cabaran sebenar adalah setelah layak bergelar penyelam tempur.

Mereka adalah pelatih yang mengikuti Kursus Asas Selam Taktikal dan Teknikal (OCBA) Siri 1/2024 dikendalikan Seksyen Selam Tempur Cawangan Latihan PARA 69 Komando.

Membimbing para pelatih ialah 15 orang jurulatih daripada Cawangan Latihan PARA 69 Komando yang bermula 26 Ogos hingga 21 September lalu.

Ini merupakan kursus pengendalian peralatan selam Open Circuit Breathing Apparatus (OCBA) dengan silibus pengenalan alatan OCBA.

Turut ditekankan ialah latihan selaman siang dan malam untuk mempelajari asas selam tempur.

Modul kursus dijalankan selama seminggu di Kompleks Renang dan Selam Taktikal, Cawangan Latihan PARA 69 Komando, Kem Sultan Nazrin Shah, Ulu Kinta.

Pada fasa pertama ini pelatih melaksanakan ujian tenaga 3.2km, ujian apungan 30 minit, ditching drill test 15ft dan ujian selaman senafas 25 meter (m).

Turut dilakukan ialah ujian renang bebas 500m dan ujian renang tempur 800m.

Fasa seterusnya pula dijalankan di Martak Latihan Luar 69 Komando di Pulau Perhentian, Terengganu selama 3 minggu.

Di sini, pelatih melalui fasa peringkat kedua iaitu

ujian S.E.S.A 70ft, ujian ketahanan 150ft, ujian renang tempur sejauh 3.2km dan ujian teori bertulis.

Pelatih juga dilatih dengan Seacombat Operation seperti teknik VBSS, reconnaissance, serangan laut serta boatcasting.

Dalam kursus ini juga, setiap pelatih diuji dengan ujian pandu arah siang dan malam secara berkumpulan dan berpasangan.

Selain itu, pelatih hendaklah melengkapkan 1,300 minit/30 selaman bagi melayakkan mereka diperakui sebagai penyelam tempur 69 Komando yang diikhtiraf.

Terdahulu, perasmian penutup Kursus Asas Selam Taktikal dan Teknikal (OCBA) Siri 1/2024 disempurnakan Komander 69 Komando, SAC Hamzah Hashim.

Turut hadir Skuadron Komander Bravo, DSP Wan Nurisham Wan Isa. – airtimes.my

#AirTimes #VAT69Komando #Keselamatan

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!