KUALA LUMPUR, 7 Okt – Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin hari ini mempersoalkan tindakan kerajaan membuat perolehan secara sewaan helikopter bagi kegunaan beberapa agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard berkata, tindakan kerajaan itu menimbulkan pelbagai persoalan termasuklah ancaman kepada keselamatan negara.
Menurut hantaran oleh Malaysia Military Review (MMR), kos sewaan selama 15 tahun dianggarkan mencecah RM16.8 bilion, jauh lebih tinggi berbanding kos pembelian helikopter serupa yang dianggarkan sekitar RM3.954 bilion.
Sehubungan itu, Chegubard menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberikan penjelasan mengenai pemilihan kaedah sewaan ini.
“Melalui hantaran MMR, kerajaan nak sewa helikopter untuk kegunaan beberapa agensi seperti Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perdana Menteri,
“Pelikkan memikir? macam sewa pusing-pusing di Pulau Langkawi ke? Kalau berlaku perang nak kira macamana? Boleh ke guna?, kata Chegubard dalam satu kenyataan, hari ini.
Chegubard turut mempersoalkan kaedah sewaan yang dipilih kerajaan adakah merupakan jalan yang terbaik untuk keselamatan negara.
“Benarkah apa yang ditulis MMR tentang sewaan helikopter? Berdasarkan harga pasaran negara lain beli helikopter yang sama, jumlah yang sama, kos pembelian adalah RM3.954 billion. Takkanlah kos penyelenggaraan cecah RM12billion untuk 15 tahun? Gila lah,” ujarnya lagi.
Selain itu, Chegubard turut mempersoalkan pemilihan Weststar sebagai pembekal helikopter dan apakah kaedah perolehan yang digunapakai oleh kerajaan.
“Ramai yang masih ingat bahawa syarikat tersebut terlibat dalam pembekalan helikopter untuk kempen Perdana Menteri semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Mengapa Weststar dipilih?” ujar Chegubard.
Sebelum ini, kerajaan telah menandatangani kontrak sewaan helikopter Black Hawk sejak tahun 2022 dan mengikut perancangan awal, helikopter itu sepatutnya tiba bulan November 2023.
Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, TDM dijangka menerima helikopter Black Hawk sebelum hujung bulan ini mengikut tarikh dipersetujui dalam surat lanjutan kedua dikeluarkan Bahagian Perolehan Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Beliau berkata, sekiranya syarikat terbabit masih gagal membuat penghantaran mengikut tarikh ditetapkan, TDM akan menggesa Bahagian Perolehan mengambil tindakan tegas selari syarat ditetapkan dalam surat lanjutan berkenaan.
Menurutnya, seandainya kontrak itu dibatalkan spesifikasi dan penjenisan helikopter sama iaitu helikopter utiliti tempur wajar digantikan bagi memenuhi keperluan operasi TDM serta keperluan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).-airtimes.my
#chegubard #airtimes #pertahanan #sewaan #DSAI #Malaysia