KUALA LUMPUR, 7 Okt – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 2 lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung penjualan alas kaki yang mempunyai corak menyerupai bentuk Kaabah dan masjid yang dijual di sebuah bazar di Pasar Lebuh Cecil, George Town, pada Ahad.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Deputi Komisioner Polis (DCP), Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, lelaki berusia 26 dan 41 tahun yang ditahan itu masing-masing merupakan pemilik serta pekerja di bazar tersebut.
Menurutnya, pihak polis menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki tempatan semalam, yang mendapati alas kaki yang dibelinya di bazar itu mengandungi corak menyerupai bentuk masjid serta kaabah.
“Sabtu lepas, lelaki terbabit melihat beberapa karpet yang disyaki bercorak Kaabah dan masjid dijual kepada orang ramai ketika berada di bazar perniagaan,
“Setelah membeli karpet tersebut, lelaki itu membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Alwi berkata kedua-dua lelaki terbabit direman untuk membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Pada masa sama Mohd Alwi berkata polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menyentuh sensitiviti mana-mana pihak dan menggangu siasatan polis.-airtimes.my
#semasa #alaskaki #kaabah #masjid #PulauPinang #PDRM #airtimes