Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Abdul Rahman menegaskan pasukan pengaman UNIFIL dari Malaysia (MALBATT) “tidak akan berundur dengan keputusan sendiri”.
Beliau mengulas status semasa petugas MALBATT di selatan Lubnan yang pada ketika ini berhadapan dengan risiko konflik Israel-Hezbollah.
Mohammad menegaskan pergerakan pasukan pengaman MALBATT dalam UNIFIL adalah tertakluk kepada arahan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
“Anggota-anggota terlibat akan kekal bersama dengan UNIFIL sehingga ada arahan untuk berundur,
“Jadi, kita kekal bersama PBB sehinggalah arahan sebaliknya dikeluarkan kepada kita.” tambahnya lagi.
Israel sebelum ini mengeluarkan amaran kepada pasukan pengaman UNIFIL untuk berundur dari sempadan. Ini sekaligus memberikan petanda bahawa Tel Aviv akan melancarkan pencerobohan berskala penuh di kawasan sempadan.
Semalam, Ketua Pengaman PBB, Jean-Pierre Lacroix berkata, pasukan tersebut terus bertahan di lokasi mereka serta berfungsi sebagai satu-satunya saluran komunikasi antara tentera Israel dan Lubnan.
Selain itu, Panglima Angkatan Tentera menegaskan keadaan semasa petugas pengaman MALBATT UNIFIL adalah baik dan selamat.
“Alhamdulillah, anggota kita semua dalam keadaan selamat.
“Sekiranya akan berlaku ataupun serangan, pihak yang bertelagah mereka akan memaklumkan kepada pihak UNIFIL beberapa jam sebelum mereka melaksanakan serangan,” kata Mohammad
Beliau menambah, sekiranya berlaku serangan, anggota pengaman MALBATT akan berada di kubu masing-masing mengikut prosedur yang ditetapkan. – airtimes.my
#AirTimes #Pertahanan #MALBATT