Home Semasa Sultan Selangor: Elak bincang isu sensitif Raja-Raja Melayu di media sosial

Sultan Selangor: Elak bincang isu sensitif Raja-Raja Melayu di media sosial

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Okt – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan semua kerabat diraja supaya mempamerkan adab budaya yang baik ketika muncul di khalayak umum ataupun di media sosial.

Baginda bertitah, semua Raja-Raja perlu menonjolkan pekerti mulia bagi meraih penghormatan serta kasih sayang rakyat.

“Baginda turut menzahirkan pandangan bahawa isu-isu yang sensitif membabitkan sesama raja-raja Melayu dielakkan daripada dibincangkan di media-media sosial,” menurut kenyataan Pejabat Diraja Selangor, pada Khamis.

Perkara itu dizahirkan baginda susulan pertemuan dengan pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail di Istana Selangor, Kuala Lumpur pada Selalu lalu.

Baginda turut menegaskan perlunya kesatuan dan kesepaduan yang utuh antara kesemua sembilan Raja-Raja Melayu.

“Titah Baginda, raja-raja Melayu mesti bekerjasama sebagai satu pasukan dan sentiasa bantu-membantu ketika berdepan apa jua permasalahan rakyat jelata,

“Ini sangat penting kerana peranan raja-raja Melayu dalam menaungi kesejahteraan hidup rakyat kini melangkaui isu-isu agama, malah turut membabitkan isu-isu semasa lain,” titah baginda lagi.

Pejabat Diraja Selangor turut menyampaikan ucapan terima kasih Sultan Sharafuddin atas keberangkatan Tunku Mahkota Ismail, sambil menyatakan sukacita dengan hasil pertemuan yang berlangsung selama lebih sejam itu.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua baginda membincangkan pelbagai isu melibatkan institusi diraja serta arena bola sepak tanah air.

“Baginda berasa sukacita dengan hasil pertemuan ini serta menerima baik isi kandungan warkah permohonan menghadap oleh Tunku Mahkota Ismail bertarikh 6 September 2024,

“Baginda menegaskan sekali lagi bahawa bola sepak adalah sukan rakyat yang telah sekian lama menyatupadukan masyarakat, justeru ia harus dipelihara dan dikekalkan sebagai salah satu wadah keharmonian negara,” jelas kenyataan itu.

Pada Ogos lalu, Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat menyindir kejayaan Selangor menjulang Piala Sultan Selangor.

Sementara itu, Tunku Mahkota Ismail dalam hantaran di media sosialnya memaklumkan, baginda dan Sultan Sharafuddin berkongsi pendapat tentang perpaduan dalam kalangan rakyat, profesionalisme di Malaysia dan kepentingan penyatuan institusi diraja untuk berkhidmat sebagai simbol negara.

Turut dibincangkan adalah perkara berkaitan bola sepak, khususnya baginda berdua bersetuju bahawa semua pihak perlu memastikan perseteruan bola sepak kekal di dalam padang sahaja dan wujudnya perasaan saling hormat-menghormati serta perpaduan di luar padang.-airtimes.my

#semasa #airtimes #DaulatTuanku #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply