Home Semasa Israel arah UNIFIL berundur, PBB tegas pengaman kekal di selatan Lubnan

Israel arah UNIFIL berundur, PBB tegas pengaman kekal di selatan Lubnan

by Suraya Aziz

BEIRUT, 4 OKT – Pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di selatan Lubnan enggan berganjak dari kedudukan mereka meskipun diarah berundur oleh tentera Israel sejauh 5 kilometer dari sempadan.

Ketua Pengaman PBB, Jean-Pierre Lacroix berkata, pasukan tersebut terus bertahan di lokasi mereka serta berfungsi sebagai satu-satunya saluran komunikasi antara tentera Israel dan Lubnan.

“Penjaga keamanan PBB sedang berusaha keras untuk melaksanakan mandat Majlis Keselamatan dalam keadaan yang sangat mencabar,” katanya pada Khamis.

Mengulas lanjut, pasukan pengaman PBB yang dikenali sebagai UNIFIL, diberi mandat oleh Majlis Keselamatan bagi membantu tentera Lubnan mengekalkan kawasan selatan Lubnan bebas daripada senjata dan kumpulan bersenjata yang bukan di bawah kawalan kerajaan.

Namun, mandat tersebut berjaya mencetuskan ketegangan dalam kalangan Hizbullah, kumpulan bersenjata yang disokong Iran dan menguasai sebahagian besar kawasan selatan Lubnan.

Jelas Lacroix, pasukan pengaman PBB perlu kekal di tempat mereka bagi melindungi orang awam dan memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan selamat di kawasan konflik.

“Para pengaman kekal di kedudukan masing-masing. Semua pihak terlibat mempunyai tanggungjawab untuk menghormati keselamatan dan perlindungan pasukan pengaman PBB,” tambahnya lagi.

Menurut laporan Reuters, tentera Israel sebelum ini meminta pasukan pengaman PBB supaya bersiap sedia untuk berundur secepat mungkin sejauh lebih lima kilometer dari sempadan “demi keselamatan” mereka.

Misi pengaman PBB ini melibatkan lebih 10,000 anggota tentera dari 50 negara serta kira-kira 800 kakitangan awam yang beroperasi antara Sungai Litani di utara dan Garis Biru di selatan. – airtimes.my

#UNIFIL #PBB #Lubnan #Global

Related Articles

Leave a Reply