Home Semasa Hukuman mati 7 warga Filipina: Mereka jelas telah cabar kedaulatan negara – Azalina

Hukuman mati 7 warga Filipina: Mereka jelas telah cabar kedaulatan negara – Azalina

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 3 OKT  – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said menegaskan penglibatan 7 warga Filipina dalam pencerobohan Lahad Datu pada tahun 2013 adalah jelas menggugat keselamatan negara.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan hukuman mati terhadap kesemua 7 warga Filipina, termasuk anak saudara Jamalul Kiram.

“Saya menghormati keputusan mahkamah kekalkan hukuman mati kepada pengganas yang menyerang Lahad Datu pada 2013,

“(ini) mengambil kira perbuatan mereka menodai kedaulatan negara yang menyebabkan ramai anggota keselamatan kita gugu dan sangat menyayat hati,” kata Azalina di akaun media sosial rasmi beliau.

Menteri Undang-undang menambah, Malaysia turut berhadapan dengan ancaman lain dari pihak yang sama di mana mereka telah mengemukakan tuntutan palsu ke atas Malaysia.

Sebelum ini, negara digemparkan dengan tindakan sekumpulan individu yang mendakwa mereka adalah waris Kesultanan Sulu yang sah. Kumpulan tersebut cuba merampas beberapa aset strategik negara melalui jalan perundangan namun usaha mereka telah berjaya digagalkan.

Pada September lalu, Mahkamah Agung Belanda menolak rayuan difailkan pihak Sulu terhadap Malaysia. Penolakan tersebut sekaligus menamatkan usaha Kumpulan terbabit untuk menguatkuasakan tuntutan tidak sah mereka terhadap Malaysia di Belanda.

Pada masa yang sama, Azalina menyarankan rakyat Malaysia untuk menonton filem Takluk: Lahad Datu bagi mendapatkan pemahaman mengenai kejadian yang berlaku pada tahun 2013. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Sabah

Related Articles

Leave a Reply