Home Pertahanan dan Keselamatan UNIFIL arah MALBATT 850-11 kekal di posisi, tidak lakukan rondaan – Khaled Nordin

UNIFIL arah MALBATT 850-11 kekal di posisi, tidak lakukan rondaan – Khaled Nordin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) mengarahkan semua pasukan, termasuk Malaysian Batalion (MALBATT) 850-11, menghentikan operasi rondaan dan pergerakan logistik berikutan situasi tegang di Selatan Lubnan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semua anggota juga diarahkan untuk kekal di penempatan masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga.

“Susulan daripada situasi yang berlaku di Selatan Lubnan, saya ingin memaklumkan bahawa status semasa pasukan MALBATT 850-11 adalah dalam keadaan selamat dan tiada sebarang kemalangan jiwa mahupun kerosakan aset telah berlaku,

“Markas UNIFIL telah mengaktifkan perlindungan di dalam kubu (bunker drill) mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan sehingga keadaan di Selatan Lubnan kembali terkawal,” jelas Menteri Pertahanan dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau turut menjelaskan bahawa sebarang perancangan untuk menarik balik pegawai dan anggota MALBATT 850-11 dari Lubnan akan tertakluk kepada kelulusan UNIFIL, berdasarkan tahap keselamatan dan ancaman di kawasan operasi.

Tambahnya, Kementerian Pertahanan (MINDEF) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memantau perkembangan di Lubnan dan akan mengemaskini status terkini berkaitan keselamatan anggota MALBATT 850-11.

Kontinjen MALBATT 850-11 terdiri daripada 850 anggota yang ditugaskan di bawah misi keamanan PBB di Lubnan untuk membantu mengekalkan kestabilan dan keamanan di kawasan tersebut.-airtimes.my

#pertahanan #airtimes #MALBATT85011 #Lubnan #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply