Home Teknologi Pertahanan MILDEF intai peluang tawarkan kenderaan HMLTV kepada Filipina, tentera serantau

MILDEF intai peluang tawarkan kenderaan HMLTV kepada Filipina, tentera serantau

by Zaki Salleh

Usaha untuk menempa nama industri pertahanan negara ke pentas global ditunjukkan oleh Mildef International Technologies Sdn. Bhd. (MILDEF) melalui penyertaan pada pameran pertahanan antarabangsa.

Menjadi satu-satunya syarikat negara yang hadir, MILDEF terlibat pada Pameran Asian Defense and Security Exhibition 2024 (ADAS) yang berlangsung di World Trade Center, Metro Manila, Filipina.

Ini merupakan pencapaian yang membanggakan bagi MILDEF apabila terus menonjol sebagai syarikat pertahanan automotif tempatan, meskipun bukan gergasi industri.

MILDEF menunjukkan komitmen syarikat automotif industri pertahanan tempatan itu untuk menembusi pasaran luar bermula dengan negara serantau.

Penyertaan MILDEF ini dilihat penting dan berani dalam memperkenalkan teknologi Malaysia kepada dunia.

Kehadiran MILDEF dalam pameran ini membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa serta membuktikan bahawa negara turut mempunyai produk berkualiti untuk bersaing.

Pada ADAS 2024, MILDEF memperkenalkan kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi (HMLTV).

Kenderaan ini boleh diubah suai mengikut keperluan sama ada sebagai kenderaan perisai ringan, rondaan atau tugas pengiring.

Keupayaan serba guna HMLTV telah menarik perhatian delegasi yang terdiri daripada wakil-wakil tentera, pasukan keselamatan.dan agensi kerajaan dari seluruh dunia.

Apa yang tidak dijangka ialah penyertaan MILDEF mendapat perhatian media pertahanan Filipina apabila menyebut kenderaan HMLTV buatan Malaysia ini antara yang ditawarkan kepada tentera negara itu.

Menerusi hantaran dalam media sosial, mereka memuji keupayaan industri pertahanan Malaysia apabila membangunkan pelbagai kenderaan perisai ringan sehingga mampu ditawarkan kepada pengguna antarabangsa.

Difahamkan, tentera darat Filipina ketika ini sedang meninjau untuk membeli 60 buah kenderaan HMLTV bagi keperluan tentera darat atau kor Marin.

MILDEF bakal bersaing dengan pengeluar-pengeluar antarabangsa lain namun setidak-setidaknya industri pertahanan Malaysia berani menyahut cabaran

HMLTV MILDEF juga dikatakan diintai pasukan polis Filipina sebagai kenderaan perisai ringan.

Ini juga memungkinkan kerjasama industri dipacu antara MILDEF dengan rakan industri di Filipina nanti sekiranya dipilih.

Sepanjang tahun ini, MILDEF telah menyertai beberapa pameran penting lain seperti Eurosatory 2024 di Paris, Perancis, serta DSA & NATSEC Asia di Kuala Lumpur.

MILDEF dijangka akan meneruskan momentum ini dengan penyertaan dalam pameran lain seperti Indo Defence 2024 di Jakarta dan Vietnam International Defence Expo 2024 tidak lama lagi.

Ini akan menjadi penyertaan kali kedua MILDEF di kedua-dua negara selepas penyertaan tahun lalu di Jakarta dan sebelumnya di Hanoi.

Kehadiran MILDEF dalam pameran antarabangsa ini bukan sahaja membuka peluang untuk memperluaskan rangkaian kerjasama dengan negara lain, tetapi juga meningkatkan kepercayaan terhadap kualiti produk pertahanan tempatan.

Dengan penyertaan aktif pada acara seperti ini, MILDEF berjaya menonjolkan kemampuan teknologi pertahanan tempatan, sekali gus memperkukuh kedudukan mereka sebagai peneraju dalam industri ini.

Melalui pameran-pameran pertahanan antarabangsan, MILDEF juga dapat mengenal pasti peluang baharu untuk mengembangkan pasaran.

#AirTimes #Malaysia #MILDEF #Pertahanan

Related Articles

Leave a Reply