Home Semasa Malaysia seru semua pihak redakan ketegangan di Timur Tengah

Malaysia seru semua pihak redakan ketegangan di Timur Tengah

by Zulhaizi Rosdi

KUALA LUMPUR, 2 OKT – Malaysia menyeru agar semua pihak di Timur Tengah untuk meredakan ketegangan yang semakin memuncak dan menjejaskan kestabilan di rantau ini dengan kadar segera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencerobohan dan serangan berterusan oleh Israel di Lubnan, Syria dan Yaman adalah perbuatan yang disengajakan.

“Tindakan Israel ini adalah langkah yang disengajakan untuk mengalihkan tumpuan masyarakat global daripada kekejaman dan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

“Peningkatan ini jelas bertujuan untuk mengekalkan kuasa pemimpin politik semasa di Israel dengan mengorbankan nyawa yang tidak bersalah demi kepentingan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Anwar turut mengingatkan untuk segera menghalang kitaran tindakan dan tindak balas berbahaya yang boleh mengancam lebih banyak pihak ke dalam konflik, meperdalam lagi ketidakstabilan serta meluaskan skala kemusnahan.

“Malaysia menggesa semua pihak yang berkenaan mengambil tindakan segera untuk mengurangkan permusuhan dan mewujudkan syarat yang diperlukan bagi mengelakkan konflik serantau yang lebih luas daripada meletus,” katanya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply