Home Pertahanan dan Keselamatan HMAS Sydney tiba di Kota Kinabalu sempena IPE 2024, perkukuh kerjasama dua hala

HMAS Sydney tiba di Kota Kinabalu sempena IPE 2024, perkukuh kerjasama dua hala

by Zulhaizi Rosdi

KOTA KINABALU, 2 OKT – Angkatan Pertahanan Australia mengadakan lawatan sulungnya ke Kota Kinabalu sempena aktiviti Indo-Pacific Endeavour (IPE) 2024 dengan ketibaan HMAS Sydney pada Isnin.

Angkatan Pertahanan Australia memaklumkan, IPE 2024 yang diadakan di Malaysia akan menjadi platform buat Australia dan Malaysia bagi mengukuhkan lagi persahabatan antara dua negara sebagai rakan kongsi lama dalam dunia pertahanan.

“DI bawah penglibatan dua hala ini, IPE 2024 akan menjalankan satu siri aktiviti bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk berkongsi pengalaman dan bertukar pandangan.

“IPE 2024 kali ini juga akan diadakan aktiviti dengan HMAS Sydney bersama Tentera Laut Diraja Malaysia di kawasan perairan,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke berkata, program IPE 2024 ini adalah peluang untuk membina kerjasama pertahanan dan keselamatan yang lebih kukuh.

“Malaysia adalah rakan kongsi yang penting kepada Australia dan perkongsian rapat kami adalah bukti kekuatan kepada hubungan antara masyarakat antara dua negara.

“Kami tidak sabar untuk meraikan dan memperdalam hubungan kami pada tahun ke-70 sempena ulang tahun kehadiran diplomatik Australia di Malaysia pada tahun depan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Komander IPE 2024, Komodor Michael Harris berkata, IPE 2024 membolehkan Malaysia dan Australia bekerjasama rapat demi keselamatan di rantau ini.

“Australia menghargai pertahanan yang kukuh dan hubungan rakyat kepada rakyat dengan Malaysia.

“Kami berharap dapat memperdalamkan lagi kerjasama melalui IPE 2024 untuk membantu mengekalkan rantau Indo-Pasifik yang aman, selamat dan makmur untuk semua,” katanya.

 

Related Articles

Leave a Reply