Home Semasa 9 rakyat Malaysia tinggalkan Lubnan, 15 lagi dalam proses evakuasi – Wisma Putra

9 rakyat Malaysia tinggalkan Lubnan, 15 lagi dalam proses evakuasi – Wisma Putra

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) memaklumkan bahawa 9 rakyat Malaysia telah meninggalkan Lubnan secara sukarela berikutan situasi yang semakin meruncing ni wilayah tersebut.

Menerusi satu kenyataan, Wisma Putra berkata, pihaknya melalui Kedutaan Besar Malaysia di Beirut sedang dalam persediaan evakuasi 15 lagi rakyat Malaysia bersama 3 warganegara asing yang merupakan pasangan kepada rakyat Malaysia yang masih berada di Lubnan,

“Sementara itu, 4 rakyat Malaysia memilih untuk terus kekal di negara itu,” kata Wisma Putra dalam kenyataan, pada Selasa.

Tambah Wisma Putra, 4 pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beirut akan meneruskan operasi di Lubnan sehingga dimaklumkan kelak.

Dalam kenyataan yang sama, Wisma Putra sekali lagi mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim zionis Israel yang berterusan melancarkan serangan ketenteraan melalui serangan udara dan darat terhadap Lubnan.

“Kekejaman Israel ini secara jelas telah melanggar piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa yang mengancam keselamatan, kestabilan serta kedaulatan dan integriti wilayah Lubnan,

“Malaysia bersolidariti bersama Lubnan dan masyarakat antarabangsa untuk mendesak Israel melaksanakan gencatan senjata segera bagi mengelakkan bencana kemanusiaan yang lebih dahsyat di Lubnan,” tambah Wisma Putra lagi.

Sejak 23 September, Israel melancarkan serangan udara besar-besaran terhadap apa yang didakwa sebagai sasaran Hezbollah di seluruh Lubnan yang mengorbankan lebih 1,057 orang dan mencederakan lebih 2,950 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.

Beberapa pemimpin Hezbollah terbunuh dalam serangan itu termasuk pemimpin utamanya, Hassan Nasrallah.

Hezbollah dan Israel terlibat dalam perang rentas sempadan sejak bermulanya perang Israel di Gaza pada Oktober tahun lalu.-airtimes.my

#Lubnan #semasa #Malaysia #evakuasi #rakyat #airtimes

Related Articles

Leave a Reply