Home Semasa GISBH: PDRM buka 80 kertas siasatan

GISBH: PDRM buka 80 kertas siasatan

by Zulhaizi Rosdi

PUTRAJAYA, 1 OKT – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka sebanyak 80 kertas siasatan membabitkan empat akta ke atas GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, 80 kertas siasatan itu membabitkan Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Akta Kanun Keseksaan.

Ujarnya, kesemua agensi terlibat mengambil masa yang lama bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

“Keputusan sama ada didakwa atau tidak akan ditentukan oleh pihak Peguam Negara.

“Tindakan ke atas GISBH dimulakan dengan proses pengintipan yang memakan waktu lama sehingga proses tangkapan dibuat yang tertumpu kepada aspek eksploitasi terhadap wanita dan kanak-kanak,” katanya ketika sesi sidang media sempena perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Isnin.

Tambah Saifuddin, operasi ini turut melibatkan agensi lain termasuk Jabatan Peguam Negara, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan lain-lain agensi lagi.

“Manakala seramai 1,226 pegawai dan anggota dari pelbagai jabatan dan agensi terlibat dalam operasi ini,” jelas beliau. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply