Home Pertahanan dan Keselamatan Eks BERSAMA LIMA: Latihan strategik 5 negara tingkat keselamatan serantau

Eks BERSAMA LIMA: Latihan strategik 5 negara tingkat keselamatan serantau

by Nurulhuda

SINGAPURA, 1 Okt – Eksesais BERSAMA LIMA 2024 merupakan antara latihan ketenteraan yang melibatkan Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom (UK).

Ia merupakan latihan ketenteraan tahunan yang dilaksanakan di bawah kerangka Peraturan Pertahanan Lima Negara (Five Power Defence Arrangements, FPDA).

Latihan ini bertujuan untuk memperkukuh kerjasama pertahanan antara negara-negara anggota dan meningkatkan keupayaan angkatan tentera dalam menghadapi ancaman keselamatan serantau.

Markas Angkatan Bersama (MK AB) memaklumkan, Eks BL24 yang diadakan di Multinational Operation and Exercise Centre (MOEC), Changi Naval Base, Singapura, berlangsung bermula semalam sehingga 18 Oktober 2024.

Kawasan latihan meliputi sebahagian perairan Laut China Selatan serta ruang udara dan darat di Semenanjung Malaysia dan Singapura.

Menurut MK AB, Eks BL24 ini melibatkan penyertaan aset ketenteraan dari kelima-lima negara, termasuk 5 buah kapal, 2 helikopter maritim, 3 pesawat pengawasan maritim, 10 pesawat bantuan, 20 pesawat pejuang, 2 pesawat AEW&C, dan 4 Unit Ground Based Air Defence (GBAD).

“Bersesuaian dengan falsafah perjanjian FPDA yang bersifat defensif, eksesais ini bukanlah sebagai satu bentuk ancaman kepada negara-negara serantau tetapi ianya adalah latihan yang telah dirancang sesuai dengan tahap profesionalisme Angkatan Tentera negara-negara FPDA,” jelas MK AB.

Majlis Pembukaan Eks BL24 telah disempurnakan oleh 𝐶ℎ𝑖𝑒𝑓 𝑜𝑓 𝑆𝑖𝑛𝑔𝑎𝑝𝑜𝑟𝑒 𝐴𝑟𝑚𝑒𝑑 𝐹𝑜𝑟𝑐𝑒𝑠, Vice Admiral Aaron Beng Yao Cheng (RSN) di Victory Hall, MOEC, Changi Naval Base, pada Selasa.

Panglima Angkatan Tentera, Tan Seri Mohammad Ab Rahman bersama wakil-wakil ketua perkhidmatan dari setiap negara turut hadir menyaksikan majlis pembukaan tersebut.

Panglima Angkatan Tentera turut meluangkan masa bertemu dengan seluruh peserta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menyampaikan amanat dan panduan dalam menjayakan Eks dengan efektif serta selamat.

Beliau turut menyempurnakan pemakaian 𝑝𝑎𝑡𝑐ℎ Eks BL24 dan penyampaian momento kepada ketua-ketua delegasi setiap negara.

Eksesais BERSAMA LIMA memfokuskan kepada latihan pertahanan defensif, memastikan angkatan tentera negara-negara FPDA dapat beroperasi secara efektif dalam menghadapi pelbagai situasi ancaman keselamatan.

Latihan ini juga membantu memperkukuhkan hubungan diplomatik dan ketenteraan antara negara-negara anggota, selaras dengan matlamat FPDA dalam mengekalkan keamanan serantau.

Turut hadir, Ketua Angkatan Tentera Singapura, Vice Admiral Aaron Beng Yao Cheng (RSN), serta wakil-wakil pertahanan dari setiap negara anggota FPDA.-airtimes.my

#pertahanan #FPDA #Malaysia #Singapura #latihanbersama #EksBL24

Related Articles

Leave a Reply