Home Semasa Larangan penjualan produk rokok sasar kanak-kanak, remaja berkuat kuasa hari ini

Larangan penjualan produk rokok sasar kanak-kanak, remaja berkuat kuasa hari ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 1 Okt – Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), yang diwartakan pada 2 Februari lalu, akan berkuat kuasa serentak bersama dengan peraturan dan perintah di bawahnya, bermula hari ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, penguatkuasaan Akta 852 akan melibatkan beberapa aspek yang dikuatkuasakan secara serta-merta dan berperingkat.

Ia termasuklah penjualan produk merokok yang menarik perhatian kanak-kanak dan remaja, bagi mengurangkan akses kepada produk tersebut.

“Selain itu, peruntukan lain yang akan dikuatkuasakan segera termasuk larangan pengiklanan, promosi, dan tajaan produk merokok, serta larangan penjualan di institusi pendidikan, pasar jualan, dalam talian dan mesin layan diri,” jelas kementerian itu dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut KKM, penguatkuasaan pendidikan pula akan dilakukan selama 6 hingga 12 bulan daripada tarikh kuat kuasa bagi aspek pendaftaran produk merokok yang akan dikuatkuasakan bermula 1 April 2025.

“Ia termasuklah pembungkusan dan pelabelan produk akan dikuatkuasakan selewat-lewatnya 1 Oktober 2025, manakala kawalan jualan dan pameran di kaunter jualan akan bermula selewat-lewatnya pada 1 April 2025,” jelas KKM lagi.

Pada masa yang sama, KKM menegaskan bahawa penguatkuasaan undang-undang memerlukan kerjasama dan persefahaman dari semua pihak.

Oleh itu, kementerian akan menerbitkan bahan pendidikan dan advokasi untuk membantu seluruh pemegang taruh memahami akta ini dengan lebih jelas serta meneruskan sesi libat urus dengan pihak industri berkaitan pematuhan Akta 852.

“KKM memandang serius kesan buruk amalan merokok yang berleluasa, termasuk aktiviti pemasaran dan promosi tidak beretika yang disasarkan kepada golongan kanak-kanak dan remaja,” tegas KKM.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai pelaksanaan Akta 852 boleh diajukan di talian 03-8892 4552 atau melalui WhatsApp di talian 010-860 8949 pada Isnin hingga Jumaat, dari 8 pagi hingga 5 petang.-airtimes.my

#semasa #merokok #KKM #Akta852 #Malaysia #airtimes

Related Articles

Leave a Reply