Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Latihan bersama TLDM-APMM tingkat sinergi dan kesiapsiagaan operasi maritim

Latihan bersama TLDM-APMM tingkat sinergi dan kesiapsiagaan operasi maritim

by Nurulhuda

LUMUT, 24 Sept – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terus memperkukuhkan kerjasama strategik dalam menjaga keselamatan serta kedaulatan maritim negara melalui Eksesais SAMUDERA PERKASA BARAT 7/24.

Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat (MPA Barat) memaklumkan, latihan ini turut meningkatkan kesiapsiagaan dan sinergi operasi antara kedua-dua agensi.

Selain itu, latihan ini turut memfokus aspek peperangan maritim, penguatkuasaan undang-undang maritim, pengendalian operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) serta menghadapi ancaman keselamatan di perairan Malaysia.

Majlis pembukaan eksesais telah disempurnakan oleh Timbalan Panglima Armada Barat, Laksamana Pertama Harisundar Rajoo, di Pusat Peperangan dan Doktrin TLDM (PUSPED), Pangkalan TLDM Lumut pada Isnin.

Turut hadir Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Pertama Maritim Vincent a/l Rajamony.

Menurut MPA Barat, eksesais yang bemula semalam sehingga 30 September ini merupakan usaha berterusan untuk meningkatkan keselamatan dan memelihara kedaulatan perairan negara.

“Inisiatif ini menekankan kesalingoperasian dalam menghadapi peperangan maritim serta keberkesanan operasi penguatkuasaan undang-undang maritim,

“Melalui latihan bersama, TLDM dan APMM dapat memperhalusi prosedur, meningkatkan kesiapsiagaan dan memperkukuhkan keupayaan dalam menghadapi ancaman seperti pencerobohan, penyeludupan dan situasi kecemasan maritim,

“Ia juga memberi penekanan khusus terhadap aspek kedaulatan negara dan teknik peperangan maritim, memastikan kedua-dua agensi bersedia untuk melindungi perairan negara dari sebarang ancaman yang boleh menjejaskan keselamatan dan kedaulatan Malaysia,” jelas MPA Barat dalam kenyataan, semalam.

Eksesais ini melibatkan penyertaan KD MAHAWANGSA, KD GAGAH SAMUDERA, pesawat Super Lynx dan Fennec, Fast Combat Boat serta Pasukan Khas Laut (PASKAL) dari TLDM.

Sementara itu, APMM menyumbangkan aset seperti KM TUN FATIMAH, KM GAGAH, pesawat Dauphin AS365 N3 dan Bombardier, Bot Perkasa serta Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team).

“Kerjasama yang terjalin melalui eksesais ini diharapkan memberikan pulangan yang signifikan dalam bentuk peningkatan kesiapsiagaan, kecekapan operasi serta kemampuan respons yang lebih pantas dan berkesan terhadap ancaman maritim,

“Latihan ini turut memperkukuh sinergi antara TLDM dan APMM, sekaligus meningkatkan keyakinan terhadap keupayaan keselamatan perairan negara,” jelas MPA Barat lagi. -airtimes.my

#TLDM #APMM #maritim #eksesaisbersama #Malaysia #airtimes

Related Articles

Leave a Reply