Home Semasa Serbuan rumah amal: 13 kanak-kanak, remaja dipercayai mangsa liwat

Serbuan rumah amal: 13 kanak-kanak, remaja dipercayai mangsa liwat

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Seramai 13 kanak-kanak penghuni rumah perlindungan yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) dipercayai menjadi mangsa liwat hasil serbuan Op Global melibatkan 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, saringan dijalankan dengan bantuan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pada awalnya, serbuan bertarikh 2 September lalu, polis terima laporan di Negeri Sembilan dan Selangor terdapat 4 mangsa yang diliwat,

“Siasatan lanjut fasa kedua dalam serbuan pada 11 September lalu pula mendapati 9 lagi mangsa telah dikenal pasti,

“Jadi siasatan dibuat di bawah satu kertas siasatan yang sama,” katanya dalam sidang akhbar di Mess Pegawai, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) pada Jumaat.

Razarudin berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2007.

Setakat ini polis membuat pemeriksaan terhadap 402 kanak-kanak yang diselamatkan dan mendapati sekurang-kurangnya 10 daripada mereka menghidap autisme, orang kurang upaya (OKU) serta berpenyakit.

“Mereka (10 kanak-kanak) yang sakit ini kita telah serahkan kepada JKM untuk tindakan lanjut,” jelasnya lagi.

Pada Rabu, media melaporkan mangsa terdiri 201 kanak-kanak lelaki dan 201 perempuan berusia setahun hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksplotasi, pengabaian dan penganiayaan di premis dipercayai milik GISB Holdings.

Razarudin dilaporkan berkata, dalam operasi Ops Global yang dijalankan jam 6 hingga 11 pagi itu, pihaknya turut menahan 171 individu terdiri tenaga pengajar, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian.

Antara modus operandi digunakan, mangsa didedahkan cara meliwat sebelum diliwat penjaga dan dipaksa pula untuk meliwat penghuni lain.-airtimes.my

#keselamatan #PDRM #rumahamal #pengasuh #GISB #airtimes

Related Articles

Leave a Reply