Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia-Thailand tingkat kesiapsiagaan operasi Bantuan Bencana dan Kecemasan

Malaysia-Thailand tingkat kesiapsiagaan operasi Bantuan Bencana dan Kecemasan

by Nurulhuda

THAILAND, 13 Sept – Malaysia dan Thailand terus mempertingkatkan kerjasama bilateral melalui latihan bersama yang berfokus pada Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Kecemasan (HADR).

Markas Angkatan Bersama (MK AB) memaklumkan, Eksesais Thailand-Malaysia Joint Combined Exercise (The 4th JCEX THAMAL 2024), yang bermula dari 12 hingga 20 September ini, melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Bersenjata Diraja Thailand (Royal Thailand Armed Forces, RTARF).

Latihan ini melibatkan seramai 118 anggota dari ATM, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dan wakil Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Manakala, penglibatan dari Thailand terdiri daripada anggota RTARF dan agensi awam Thailand.

Majlis perasmian eksesais telah disempurnakan oleh wakil kedua-dua negara, iaitu Chief of Joint Staff RTARF, Jeneral Thitichai Tiantong, dan Ketua Staf MK AB, Mejar Jeneral Datuk Khairul Anuar Abd Aziz, di Disaster Relief Training Centre (DRTC), Chachoengsao, Thailand, pada Jumaat.

“Latihan ini merupakan bukti komitmen bersama kedua-dua buah negara dalam menjamin keselamatan rakyat di saat-saat darurat dan bencana,

“Latihan ini diadakan dengan tujuan untuk meningkatkan kesiapsiagaan dan memperkuat kerjasama antara agensi kedua-dua negara,

“Dengan adanya latihan bersama ini, kedua-dua negara diharap dapat meningkatkan kepercayaan dan pemahaman satu sama lain, agar dapat menghadapi situasi sebenar dengan lebih efektif,” kata Khairul Anuar dalam ucapan perasmiannya.

Menurut MK AB, eksesais yang memfokuskan pada HADR ini adalah satu aktiviti penting, kerana bantuan HADR sering kali diperlukan di kawasan sempadan antara Malaysia dan Thailand.

“Persiapan sebegini mencerminkan hubungan kerjasama Malaysia-Thailand yang sentiasa diperkasa dan diperkukuhkan,

“Ia bertujuan memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terjamin dalam situasi bencana alam,” jelas MK AB dalam satu hantaran hari ini.

Selepas majlis perasmian, acara diteruskan dengan taklimat pengoperasian HADR di Thailand dan diakhiri dengan pameran statik dari RTARF. Antara yang dipamerkan adalah aset dan peralatan yang digunakan oleh RTARF semasa melaksanakan misi HADR.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Director of Joint Operations (J3) RTARF, Lt General Jakkapong Janpengpen, dan Asisten Ketua Staf (J5) MK AB, Laksamana Pertama Muhammad Rodhi Arifin.-airtimes.my

#ATM #RTARF #Malaysia #Thailand #HADR #airtimes

Related Articles

Leave a Reply