Home Pertahanan dan Keselamatan Minggu Bersama Pencarum landasan LTAT santuni warga ATM

Minggu Bersama Pencarum landasan LTAT santuni warga ATM

by Zaki Salleh

KUALA LUMPUR, 10 SEPT – Minggu Bersama Pencarum terus menjadi landasan utama bagi LTAT untuk menyantuni dan meningkatkan keterlibatannya dengan warga ATM.

Baru-baru ini, Minggu Bersama Pencarum: Jelajah Selatan 2024 (MBP) anjuran Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mencatat kejayaan tersendiri apabila dihadiri kira-kira 3,500 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

LTAT dalam kenyataan memaklumkan, program pada 2 hingga 6 September lalu dengan pelbagai pengisian termasuk sesi bual bicara yang memberi penekanan kepada faedah-faedah disediakan kepada pencarum.

Turut dikongsi tentang pengurusan kewangan serta pelancaran Laporan Pencarum LTAT 2023.

Jelas kenyataan itu, inisiatif terbaharu LTAT ini untuk memberi kefahaman mendalam berhubung peranan agensi itu terhadap warga ATM dan pembangunan ekonomi negara.

“Memasuki tahun kedua penganjuran, MBP telah dinaiktaraf bagi memastikan peningkatan kefahaman anggota ATM terhadap kesejahteraan dan perlindungan sosio-ekonomi semasa perkhidmatan dan selepas persaraan.

“MBP menganjurkan slot Inspirasi Veteran ATM menampilkan usahawan veteran ATM berjaya serta slot Laman Bicara yang menampilkan personaliti terkenal yang berkongsi kejayaan.

“Kemuncak program ialah sesi perkongsian oleh Menteri Pertahanan dan timbalannya, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dan Adly Zahari melalui slot Bicara.

“Keduanya juga berkongsi pandangan terhadap masa depan keselamatan negara dan kebajikan anggota ATM,” ujar kenyataan tersebut.

MBP turut dihadiri Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan mewakili Panglima ATM dan Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Azizan Ariffin.

Program ini turut diserikan dengan aktiviti BHPetrol Titan Challenge yang menyediakan cabaran fizikal dan mental kepada warga ATM yang hadir.

Anak-anak syarikat dan syarikat bersekutu LTAT turut menyertai program ini dengan menyediakan reruai untuk warga ATM.

Antaranya  Boustead Holdings Berhad, Boustead Plantations Berhad, BH Petrol, Affin Bank Berhad, AHAM Asset Management, Pharmaniaga Berhad dan lain-lain.

Menurut kenyataan itu lagi, program ini juga diserikan dengan acara cabutan bertuah khas sebagai tanda penghargaan LTAT kepada warga ATM.

“Dalam majlis sama, Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) menyampaikan sumbangan chromebook yang ditaja oleh BHPetrol kepada anak-anak warga ATM.

“Program ini merupakan kerjasama antara YLTAT dan Universiti Pendidikan Sultan Idris melibatkan 969 anak-anak warga ATM calon SPM 2024  untuk mengikuti program tuisyen dalam talian, e-Perkasa SPM,” ujar kenyataan tersebut.

Selain itu, sumbangan kebajikan turut dipanjangkan kepada anggota ATM dan keluarga mereka yang menghidap penyakit kronik dan OKU. – airtimes.my

#AirTimes #Pertahanan #LTAT

Related Articles

Leave a Reply