Home Teknologi Pertahanan Gripen jadi pilihan Tentera Udara Diraja Thailand, ketepikan F-16

Gripen jadi pilihan Tentera Udara Diraja Thailand, ketepikan F-16

by Zulhaizi Rosdi

Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) dilaporkan telah memilih jet pejuang Gripen dari Sweden berbanding F-16 buatan Amerika Syarikat (AS).

Komander RTAF, ACM Phanphakdee Phattanakul memaklumkan, jawatankuasa pemilihan RTAF membuat keputusan itu selepas mengkaji butiran tambahan yang dikemukakan oleh kedua-dua pesaing pada 20 Ogos lalu.

“Butiran itu berkaitan dengan ‘offset’ seperti pemindahan teknologi dan latihan yang mana tentera Thailand telah memberi penekanan besar ketika proses perolehan dijalankan.

“Selepas mengkaji semua faktor, panel memilih Gripen E/F berbanding jet F-16 Block 70/72,” katanya pada Selasa.

Jelasnya lagi, RTAF kini akan menyediakan dokumen untuk menjelaskan butiran yang diberikan oleh kedua-dua pengeluar kepada orang ramai dan pihak atasan.

“Tentera udara telah berusaha untuk membeli empat jet pejuang baharu bagi menggantikan sedozen F-16 lama yang akan ditamatkan perkhidmatan dalam masa terdekat.

“Perolehan itu masih menunggu kelulusan akhir daripada menteri pertahanan baharu dan kabinet yang dijangka akan dibentuk dalam beberapa hari akan datang berikutan pemilihan Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra baru-baru ini,” katanya.

Selain itu, Phanphakdee turut menzahirkan keyakinan terhadap pemilihan pesawat baharu itu yang akan memainkan peranan penting dalam membangunkan kapasiti tentera udara Thailand.

“Jet pejuang itu akan memberikan manfaat maksimum dari segi keselamatan dan kedaulatan negara,” tambah beliau. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply