Home Semasa Nafi terlibat perdagang manusia di Myanmar, Dr. Mashitah lapor polis

Nafi terlibat perdagang manusia di Myanmar, Dr. Mashitah lapor polis

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim hari ini  menafikan dirinya terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia di Myanmar.

Menerusi satu hantaran di laman media sosialnya, Dr Mashitah memaklumkan, info berhubung perkara tular di media sosial membabitkan dirinya dikutip daripada media picisan di Indonesia.

Sehubungan itu, beliau telah membuat satu laporan polis dan memberikan keterangan berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

“Saya telah membuat laporan dan memberi keterangan di Balai Polis Bukit Aman berkaitan tuduhan liar beberapa pihak seperti Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) yang mengaitkan saya dengan aktiviti Myanmar yang tular,

“Saya tidak akan teragak-agak akan ambil tindakan mahkamah pada pihak cuba mengaitkan saya dengan futnah ini bertujuan menjatuhkan reputasi saya. Terima kasih pada kawan-kawan yang ambil berat,” katanya dalam hantaran itu.

Dalam hantaran yang sama, D Mashitat berkata, beliau kekal utuh berpegang kepada ajaran Islam dan tidak terlibat dengan mana-mana aktiviti bercanggah dengan agama serta undang-undang di Malaysia.

Semalam, media melaporkan, MHO menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat dakwaan penglibatan seorang ahli politik tempatan dengan kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim dilaporkan berkata, modus operandi sindiket ini adalah memperdaya mangsa secara dalam talian dengan menawarkan pekerjaan yang menarik sebelum memaksa mangsa bekerja sebagai `scammer’ penipuan judi secara dalam talian.

Terdahulu, tular satu video di media sosial pembongkaran sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar bertajuk ‘Neraka Perbatasan: Jejak Mafia Judi Online dan Perbudakan Digital di Asia’ yang diterbitkan di Indonesia.

Klip video yang tular berdurasi kira-kira setengah jam itu turut mempamerkan terdapat pembabitan ahli politik Malaysia di dalam kumpulan sindiket itu bersama suaminya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihak polis telah merakam keterangan pasangan suami isteri yang didakwa terlibat dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Menurutnya, proses itu dilaksanakan pada Julai lalu selepas artikel pertama berkait perkara tersebut dilaporkan.

Susulan itu, beliau berkata, siasatan terus dilakukan dan pihak polis akan mendapatkan artikel yang dikeluarkan oleh negara berkenaan (Myanmar).

“Selain itu, kita juga sedang mencari saksi bagi membantu siasatan berkait dengan kes terbabit,” katanya seperti dilapor media. -airtimes.my

#semasa #Mashitah #sindiket #scammer #Malaysia #Myanmar

 

Related Articles

Leave a Reply