Home Semasa Laporan RCI Batu Puteh akan dibentang, dibahas di Parlimen – Azalina

Laporan RCI Batu Puteh akan dibentang, dibahas di Parlimen – Azalina

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan akan dibentangkan di Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam dan laporan berkenaan dibentangkan oleh Pengerusi suruhanjaya berkenaan, Tun Md Raus Sharif yang juga mantan Ketua Hakim Negara.

“Jemaah Menteri amat prihatin terhadap isu kedaulatan negara dan membuat keputusan supaya Laporan Suruhanjaya ini dibentangkan di Parlimen dan syor-syor yang dikemukakan dibahaskan di Parlimen,” kata Azalina dalam kenyataan, hari ini.

Pada 12 Ogos lalu, Md Raus mempersembahkan laporan lengkap RCI itu kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara.

Terdahulu, pada Februari, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan memaklumkan, Sultan Ibrahim memperkenan penubuhan suruhanjaya terbabit berkuat kuasa serta-merta.

Penubuhan RCI itu dilakukan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Azalina dilaporkan berkata, penubuhan RCI itu bagi mencari jalan penyelesaian serta mengorak langkah penambahbaikan berkaitan sebarang isu membabitkan kedaulatan negara.

Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.

Selain itu, ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Malaysia kemudian memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan ICJ, namun pada Mei 2018 kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menarik balik permohonan itu sebelum kes dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018. -airtimes.my

#semasa #airtimes #Malaysia #Singapura #BatuPuteh #TubirSelatan

Related Articles

Leave a Reply