Home Semasa Minta derma untuk rakyat Palestin: PM ingatkan rakyat agar berwaspada – Fahmi

Minta derma untuk rakyat Palestin: PM ingatkan rakyat agar berwaspada – Fahmi

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 29 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan mana-mana pihak tidak bertanggungjawab mengutip derma kononnya untuk rakyat Palestin yang sedang dirawat di dalam negara ketika ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, perkara itu dizahirakan oleh Perdana Menteri semasa mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikannya, hari ini.

“Seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini, pihak kerajaan tidak melantik mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) mengutip derma bagi tujuan membiayai atau mengusahakan makanan bagi warga Palestin yang menerima rawatan pada waktu ini,

“Pada mesyuarat tadi juga, Perdana Menteri minta supaya rakyat berwaspada sekiranya menerima sebarang makluman atau mesej yang dihantar di media sosial oleh mana-mana pihak yang memohon derma serta mendakwa mengutip derma untuk bantu warga Palestin,” katanya dalam sidang media Menteri Komunikasi, hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, sekiranya orang ramai yang menerima mesej itu, mereka dinasihatkan membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kadar segera.

“Saya belum menerima maklumat terkini mengenai jumlah aduan itu (penipuan kutip derma). Saya akan semak dan maklumkan kemudian,” jelasnya lagi.

Pada 16 Ogos lalu, Air Times melaporkan, seramai 41 rakyat Palestin yang cedera akibat serangan Israel di Gaza, dengan diiringi 86 waris mereka selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara Subang, Selangor.

Amanah dan tanggungjawab murni bagi membawa rakyat Palestin cedera dan memerlukan rawatan di Malaysia telah digalas oleh Tentera Udara Diraja Malaysia dengan menggunakan pesawat A400M.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) memaklumkan, misi ini dilaksanakan atas pertimbangan kemanusiaan serta rasa kebersamaan Malaysia dengan menyediakan bantuan perubatan kepada rakyat Palestin yang tercedera akibat konflik.

Misi tersebut melibatkan seramai 75 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta agensi awam merangkumi krew penerbangan, anggota TUDM dan Aeromedical Team dari Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM (BPK).-airtimes.my

#ATM #DSAI #palestin #rawatan #Malaysia #airtimes

Related Articles

Leave a Reply