Home Semasa Latihan Kuasa Tembakan 2024: ATM pamer keupayaan sistem persenjataan, penggunaan dron

Latihan Kuasa Tembakan 2024: ATM pamer keupayaan sistem persenjataan, penggunaan dron

by Zulhaizi Rosdi

GEMAS, 13 OGOS – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terdiri daripada Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia tampil mempamerkan keupayaan sistem persenjataan  dalam pelaksanaan Latihan Kuasa Tembakan 2024 (LKT 2024), hari ini.

TDM dalam satu kenyataan berkata, keupayaan itu dipamerkan menerusi aspek manuver, kuasa tembakan dan impak ke atas sasaran serta future capabillity yang melibatkan penggunaan dron dalam operasi.

“Objektif LKT juga meliputi aspek pengujian pengurusan pasukan, keupayaan anggota dan mempamerkan kompetensi anggota yang terlibat dalam melaksanakan latihan tembakan peluru hidup.

“Latihan Kuasa Tembakan ini adalah signifikan bagi menilai dan meningkatkan keupayaan tempur Tentera Darat (TD) dan berfungsi sebagai platform untuk memperkenalkan strategi dan teknologi baru dalam operasi ketenteraan dan peningkatan berterusan keupayaan TD,” ujarnya. 

Jelasnya lagi, tahun ini, latihan telah memberi tumpuan kepada penggunaan dron untuk pengintipan dan serangan, meningkatkan keberkesanan tembakan tidak langsung dengan bantuan aset udara serta integrasi operasi darat dengan sokongan udara. 

“Latihan ini juga menguji keupayaan komunikasi dan koordinasi antara unit-unit berlainan dalam situasi pertempuran yang kompleks.

“LKT merupakan latihan medan secara bersama (combine arms) yang melibatkan gabungan ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merangkumi 2 segmen utama iaitu Dinamik melibatkan manuver kenderaan tempur, aplikasi sistem persenjataan, impak ke atas sasaran dan penggunaan dron serta tembakan tidak langsung,” katanya.

Antara aset yang terlibat ialah GEMPITA AMC 120mm, GEMPITA AHRV 7.62mm, LIPAN BARA 7.62mm, PENDEKAR AEV, ACV 300 ADNAN IFV 40mm, ACV 300 ADNAN IFV 120mm (Mortar), OERLIKON 35mm, ASTROS II Multiple Launch Rocket System (MLRS), Helikopter AGUSTA, Helikopter MD 530G, HAWK dan F/A 18 HORNET. 

“Fasa latihan sempena LKT 2024 telah bermula pada 4 hingga 12 Ogos 2024 yang diadakan sebagai aktiviti tahunan bertujuan memberi pendedahan kepada Siswa Kursus Pemerintah dan Staf Malaysia (KPSM) siri 53/2024 dari Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) kepada kuasa tembakan.

“Seramai 180 orang Pegawai Tentera terlibat dan terdiri dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), termasuk 36 Pegawai Tentera dari luar negara sedang mengikuti kursus di MTAT,” ujar beliau. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply