Home Pertahanan dan Keselamatan 2 syarikat Malaysia berjaya siapkan bot peronda Tentera Laut Nigeria

2 syarikat Malaysia berjaya siapkan bot peronda Tentera Laut Nigeria

by Nurulhuda

LANGKAWI, 13 Ogos – Dua syarikat pertahanan tempatan, KN Aluminium & Engineering Sdn Bhd (KNAE) dan Northern Shipyard Sdn Bhd (Northern Shipyard) berjaya menyiapkan 2 buah bot peronda Tentera Laut Nigeria.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pembinaan bot peronda 38M Sea Eagle oleh tenaga kerja dan kepakaran tempatan ini adalah satu pencapaian cemerlang dalam industri perkapalan negara yang wajar dibanggakan.

“Kejayaan ini telah membuktikan keupayaan industri tempatan Malaysia mampu menghasilkan aset berteknologi tinggi setaraf dengan negara maju. Tidak dinafikan bahawa Malaysia juga mampu untuk bersaing di peringkat antarabangsa dalam industri ini,

“Kerjasama erat antara pihak Tentera Laut Nigeria, KN Aluminium & Engineering Sdn Bhd. serta Northern Shipyard Sdn. Bhd telah membuahkan hasil yang cukup membanggakan,

“Pembinaan bot peronda ini bukan sahaja mempamerkan keupayaan industri tempatan untuk menghasilkan aset berkualiti tinggi, tetapi ia juga membuktikan kebolehan, kemahiran, dan kepakaran rakyat tempatan dalam sektor pembuatan kapal,” katanya.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pembinaan bot peronda ini mempamerkan keupayaan industri tempatan untuk menghasilkan aset berkualiti tinggi, serta membuktikan kebolehan, kemahiran, dan kepakaran rakyat tempatan dalam sektor pembuatan kapal.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Penyempurnaan Kapal Peronda Tentera Laut Nigeria 38M Sea Eagle di Northern Shipyard pada Selasa.

Mengulas lanjut, Adly berkata, bot peronda 38m Sea Eagle ini direka dengan keupayaan dan ciri-ciri yang canggih, sesuai dengan kehendak dan keperluan operasi Tentera Laut Nigeria.

Tambahnya, bot ini akan memainkan peranan penting bukan sahaja dalam meningkatkan keselamatan perairan Nigeria, tetapi dalam usaha membanteras kegiatan jenayah di laut, seperti penyeludupan, lanun dan pencerobohan.

Selain itu, beliau turut memaklumkan, projek Manta iaitu sebuah lagi bot Tentera Laut Nigeria yang masih dalam pembinaan.

“Projek ini bukan sahaja menunjukkan kebolehan kita dalam industri pembinaan kapal, tetapi juga membuktikan kepercayaan negara luar keatas kemampuan dan keupayaan industri tempatan,” ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, Adly juga turut menegaskan komitmen kerajaan dalam menyokong pembangunan industri tempatan agar dapat bersaing di peringkat global.

“Komitmen ini adalah selaras dengan aspirasi Kertas Putih Pertahanan (KPP) untuk memperkenalkan pendekatan baharu untuk memacu bidang sains, teknologi dan industri pertahanan melalui pembangunan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN),

“Kerjasama dengan negara-negara rakan seperti Nigeria, juga merupakan langkah yang penting dalam memperkukuhkan hubungan bilateral serta membuka peluang-peluang baru dalam bidang industri pertahanan khususnya pembuatan kapal tempatan,” jelasnya lagi.-airtimes.my

#Malaysia #pertahanan #syarikat #tempatan #Nigeria #airtimes

Related Articles

Leave a Reply