Home SemasaGlobal Perang di Timur Tengah akan masuki fasa baharu, ketegangan kian memuncak – Setiausaha Agung Hezbollah

Perang di Timur Tengah akan masuki fasa baharu, ketegangan kian memuncak – Setiausaha Agung Hezbollah

Hassan Nasrallah ancam serangan balas terhadap Israel akan dilakukan sebagai membalas kematian Fouad Shukr

by M.Daim

BEIRUT, 2 OGOS – Setiausaha Agung Hezbollah, Hassan Nasrallah ancam peperangan di Timur Tengah akan memasuki fasa baharu.

Menurutnya, tindak-tanduk Israel semenjak mutakhir ini telah menyebabkan ketegangan di rantau itu semakin meruncing.

“Pemimpin penjajah Israel sedang gembira dan angkuh. Saya sampaikan kepada mereka: Ketawalah dahulu tetapi kamu akan banyak meratap kemudian,” katanya ketika menyampaikan ucapan semasa menyampaikan ucapan kepada kumpulan yang hadir ke upacara pengebumian Fouad Shukr, pada Khamis.

Fouad Shukr merupakan orang kanan Nasrallah dan bertanggungjawab sebagai penasihat kepada Setiausaha Agung Hezbollah.

Komander Hezbollah itu disahkan terbunuh dalam satu serangan udara di Beirut pada 30 Julai lalu oleh Israel. Ia merupakan tindak balas Tel Aviv terhadap Hezbollah yang didakwa telah melancarkan serangan di Majdal Shams, wilayah Bukit Golan yang diduduki Israel.

Walau bagaimanapun, Hezbollah menafikan penglibatan mereka dalam serangan 27 Julai yang meragut nyawa 12 kanak-kanak Druze dan 4 orang awam yang lain dengan 80 lagi cedera.

“Musuh (Israel) telah melakukan penipuan dan penipuan dengan menuduh rakan syahid kami (Fouad) sebagai pembunuh kanak-kanak dalam insiden Majdal Shams,

“Mereka tergesa-gesa menuduh kami dengan tanpa sebarang bukti. Kami telah menafikan penglibatan kami dengan apa yang berlaku dan siasatan dalaman mendapati Hezbollah tidak terlibat langsung dalam apa yang berlaku di Majdal Shams,” tegas Hassan.

Setiausaha Agung Hezbollah itu turut mendakwa Israel tidak dapat menerima bahawa letupan di Majdal Shams adalah berpunca dari ‘misil pemintas yang rosak’.

Fouad Shukr yang turut dikenali sbeagai Sayyed Mohsin terbunuh dalam satu serangan udara di Beirut pada 30 Julai lalu.

Pembunuhan Fouad Shukr telah mendapat respon Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang menyatakan Israel akan berhadapan dengan masa yang sukar.

Dalam ucapannya pada 31 Julai lalu, Netanyahu menyatakan Israel akan berhadapan masa yang sukar. Ini berikutan serangan yang dilancarkan terhadap Beirut.

“Semenjak serangan dilancarkan di Beirut, terdapat banyak ancaman dari pelbagai sudut,

“Kami bersedia untuk menghadapi pelbagai senario. Israel akan membayar harga yang tinggi kepada mana-mana serangan terhadap kami dari pelbagai arena,” kata Netanyahu.

Pun begitu, siaran ucapan Netanyahu itu tidak menyebut sebarang perkara berkaitan dengan insiden Tehran yang meragut nyawa pemimpin senior Hamas, Ismail Haniyeh.

Pembunuhan Fouad Shukr yang turut dikenali sebagai Sayyed Mohsen itu merupakan satu tamparan yang hebat kepada Hezbollah.

“Musuh dan sesiapa sahaja menjadi dalang (serangan membunuh Fouad) akan menunggu balasan yang pasti dari kami,

“Kami akan bertindak balas, dan mereka perlu menunggu – sudah pasti tindak balas adalah dari medan perang,” kata Nasrallah.

Setiausaha Agung Hezbollah menyatakan Fouad terlibat dalam operasi membantu masyarakat Islam Bosnia pada tahun 1990.

Serangan yang dilancarkan terhadap ibu kota merupakan yang kedua dilancarkan oleh Israel pada tahun ini. Serangan pertama yang dilancarkan pada Januari lalu telah meragut nyawa seorang pemimpin Hamas, Saleh al-Arouri.

Saleh, 57 tahun dilaporkan maut selepas tempat kediamannya dibedil dengan misil pada 2 Januari 2024. – airtimes.my

#AirTimes #Global #TimurTengah

Related Articles

Leave a Reply