KUALA LUMPUR, 20 JUL – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin menegaskan penyertaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) 2024 akan membantu proses pembangunan keupayaan pelaksanaan operasi angkatan laut negara.
Perkara tersebut ditegaskan oleh Menteri Pertahanan dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang, baru-baru ini.
“Malaysia telah memutuskan untuk menyertai eksesais RIMPAC 2024 seperti pelaksanaannya sebelum ini dengan penyertaan sebuah kapal TLDM iaitu Kapal Diraja LEKIU (KD LEKIU),
“Selain Malaysia, negara-negara Islam yang turut menyertai eksesais ini adalah Brunei dan Indonesia,” katanya dalam jawapan bertulis itu.
Tambahnya, eksesais itu turut disertai negara-negara ASEAN yang lain iaitu Filipina dan Singapura.
Terdahulu, wakil Marang yang juga Presiden PAS mengemukakan soalan kepada pihak Menteri Pertahanan akan “apakah pendirian Kerajaan terhadap penyertaan Malaysia dalam latihan ketenteraan RIMPAC 2024 yang disertai rejim haram pengganas Israel”.
RIMPAC 2024 merupakan eksesais multilateral (pelbagai hala) yang diadakan secara dwitahunan di Hawaii, Amerika Syarikat. Eksesais ini telah pun bermula semenjak 27 Jun 2024 dan akan berakhir 2 Ogos 2024.
“Selain Malaysia, negara-negara Islam yang turut menyertai eksesais ini adalah Brunei dan Indonesia,” – Jawapan Bertulis Menteri Pertahanan kepada Ahli Parlimen Marang.
Selain TLDM, negara turut menghantar elemen Tentera Darat Malaysia bagi melaksanakan latihan di pulau Pasifik itu.
“RIMPAC 2024 akan membantu TLDM dalam usaha pembangunan keupayaan pelaksanaan operasi maritim secara bersama negara-negara rakan kerjasama pertahanan yang lain seperti mana yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP),” jelas Menteri Pertahanan.
Penyertaan Malaysia ke RIMPAC 2024 sebelum ini dikritik oleh beberapa pihak yang turut mahukan penarikan balik penyertaan TLDM ke latihan itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada akhir Mei lalu menegaskan pendekatan rasional perlu diambil terhadap desakan tersebut.
“Pendirian kita adalah tegas, tiada negara lain yang selantang Malaysia mengenai isu Israel… kita menunjukkan bantahan setiap hari,
“Justeru itu, kita harus bertindak dengan berhati-hati dan bukan didorong oleh perasaan marah,” ujar beliau. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #RIMPAC